ALOR GAJAH – “Dia (pengasuh) bedung anak saya, sumbat botol susu, tutup dengan kain dan tekup dengan bantal”.
Itu pendedahan dibuat bapa bayi lelaki berusia lapan bulan, Muhammad Al Fateh Amri yang meninggal dunia selepas dihantar ke sebuah taman asuhan kanak-kanak (taska) di Taman Kelemak Utama, di sini pagi tadi.
Menurut Mejar Ir. Ts, Mohd. Fikry Amri Abdul Halim, 39, perbuatan tidak berhati perut itu dilihatnya sendiri melalui rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) di premis terbabit.
“Pihak taska hubungi isteri saya, Sabrina Hakiem Zaini, 39 pada pukul 9 pagi beritahu anak tak sedarkan diri dan mukanya biru, saya yang bertugas di Kem Perdana Sungai Besi, Kuala Lumpur terus bergegas pulang ke Melaka.
“Kami baru hantar Al Fateh (ke taska) selama lima hari, isteri saya ambil cuti tanpa gaji selama setahun dan tempoh itu hampir habis, jadi kami cuba hantarnya kepada pengasuh.
“Kami tunggu (kelahiran) Al-Fateh selama 13 tahun, saya boleh terima kalau dia meninggal dunia kerana tersedak susu atau terjatuh kerana ia diluar kawalan tapi apabila saya tengok sendiri CCTV, saya memang tak percaya benda ni dibuat sendiri oleh pengasuh,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Alor Gajah, di sini, sebentar tadi.
Tambahnya, hasil soal siasat awal suspek yang berusia 34 tahun itu enggan mengakui perbuatannya sehingga rakaman CCTV itu diperiksa olehnya sendiri bersama-sama pihak polis.
“Kejadian itu dilakukan suspek kira-kira pukul 8 pagi dan selepas sejam baru taska telefon isteri saya, waktu ambil Al Fateh dia sudah dalam keadaan terkulai tidak sedarkan diri, mulutnya berdarah serta muka biru.
“Al Fateh baru sahaja belajar merangkak, saya syak (suspek) bedung anak saya kerana dia lasak dan memudahkan kerja dia untuk beri susu kerana Al-Fateh tak pandai minum sendiri, kena dipegang botol susu,” ujarnya.
Katanya, hasil siasatan awal polis turut mendapati taska tersebut beroperasi tanpa lesen selama empat tahun. – KOSMO! ONLINE