ALOR GAJAH – Pasangan suami isteri tidak menyangka cahaya mata yang dinantikan mereka selama 13 tahun, Muhammad Al Fateh Amri Mohd. Fikry Amri, 8 bulan, maut selepas dihantar ke sebuah taman asuhan kanak-kanak (taska) di Taman Kelemak Utama, dekat sini.
Menurut Mohd. Fikry Abdul Halim, 39, dia dan isteri Sabrina Hakiem Zaini, 39, masih terkejut dengan kejadian yang menimpa Al Fateh kerana pelbagai langkah berjaga-jaga telah diambil bagi memastikan anaknya dapat membesar dalam keadaan selamat.
“Saya dan isteri tinggal berjauhan kerana saya bekerja di Kem Perdana Sungai Besi, Kuala Lumpur manakala Sabrina seorang guru di Melaka, jadi kami hanya berjumpa pada hujung minggu sahaja.
“Kami telah berkahwin selama 14 tahun dan Al Fateh ini adalah cahaya mata pertama kami selepas penantian selama 13 tahun.
“Memang tidak sangka perkara ini terjadi kerana isteri sanggup mengambil cuti tanpa gaji selama setahun bagi menjaga Al Fateh sehingga usianya sesuai dihantar kepada pengasuh,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Alor Gajah, tadi.
Ujarnya, dia juga telah menyelidik beberapa buah taska berhampiran kediamannya sebelum menghantar Al Fateh dan dimaklumkan taska terlibat merupakan salah satu yang menyediakan perkhidmatan terbaik.
“Saya tidak percaya pengasuh taska itu sendiri telah bedung Al Fateh, sumbat botol susu, tutup dia dengan kain dan tekup menggunakan bantal.
“Saya harap benda ini diambil tindakan supaya tak jadi pada orang lain, benda ini tidak sepatutnya berlaku kerana saya ingat selama ini taska tersebut ada lesen sebab sudah beroperasi selama empat tahun. Selepas disiasat polis rupanya lesen pun tidak ada, itu yang saya terkilan,” ujarnya.
Tambahnya, meskipun keadaan luaran isterinya kelihatan stabil, namun dia bimbang dengan tekanan emosi yang terpaksa ditanggung oleh pasangannya itu. – KOSMO! ONLINE