PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan rundingan mengenai penubuhan Tabung Kewangan Asia sedang berlangsung dan boleh dianggap sebagai pelengkap kepada institusi kewangan antarabangsa sedia ada.
Anwar dalam satu program temu bual bersama agensi berita Rusia, RIA Novosti berkata, beliau mencadangkan penubuhan tabung berkenaan kerana percaya bahawa perlu ada mekanisme alternatif untuk melengkapi dan menangani tekanan.
“Kami membincangkan perkara ini secara serius dalam kalangan ASEAN dan dengan China untuk mewujudkan tabung itu dan saya terus membangkitkan perkara ini dengan Perdana Menteri Jepun, Fumio Kishida.
“Jadi, rundingan sedang berlangsung,” katanya di luar sidang Forum Ekonomi Timur (EEF).
Selain itu, Anwar memaklumkan BRICS merupakan mekanisme penting untuk mengurangkan kebergantungan negara-negara terhadap mata wang dolar.
Katanya, isu penggunaan mata wang tempatan yang dilakukan sebelum ini dengan China, Indonesia dan sehingga ke tahap tertentu dengan Thailand, kini sedang dibincangkan dengan India.
“Kami masih bergantung kepada dolar, tetapi sekurang-kurangnya untuk mengurangkan impaknya, kami perlu melakukannya.
“Dan BRICS tentunya merupakan satu lagi mekanisme untuk mencapai tujuan itu,” katanya. – KOSMO! ONLINE