fbpx

Ramai pula ‘backup’, doakan Abang Bas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tangkap layar beberapa komen yang memuji serta mendoakan Abang Bas tular di media sosial.

PETALING JAYA – Ketika pelbagai kecaman dilontarkan terhadap tindakan seorang lelaki dikenali sebagai ‘Abang Bas’, ada juga segelintir masyarakat yang memuji malah menyokong tindakan lelaki itu.

Perkara tersebut boleh dilihat menerusi tangkap layar komen yang tular di media sosial ruangan komen Abang Bas.

Ketika lelaki itu memuat naik video sambil menyatakan dia mempunyai ‘crush’ (suka) terhadap salah seorang murid, ada yang memuji dan berharap dapat disukai seperti kanak-kanak itu.

“Kalau aku angau dah, abang ini suka aku ke. Balik mesti teringat-teringat,” komen seorang wanita.

“Kau buat dia ‘blushing’ weh. Mesti dia rajin pergi sekolah lepas ni. Tak ada cuti langsung,” komen pemuda lain.

“Kenapa orang panas sangat dengan dia (pemandu bas)? Aku rasa konten dia biasa je, tak ada pun gangguan seksual. Semoga dipermudahkan urusan kau bang,” komen seorang pengguna lain pula.

Terdahulu, seorang pemandu bas sekolah kerap memuat naik video kanak-kanak di media sosial sehingga mengundang kecaman dan kerisauan dalam kalangan orang ramai.

Di dalam kesemua videonya, bukan sahaja pemandu bas itu sering merakam gelagat murid-murid sekolah di dalam kenderaannya malah dia juga turut merakam sentuhan yang dilakukan terhadap kanak-kanak itu.

Sehubungan itu, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri mengarahkan Jabatan Pembangunan Kanak-kanak untuk membuat laporan polis dengan segera selain bekerjasama dengan D11 IPK (Ibu Pejabat Polis Kontinjen) Johor.

Kira-kira pukul 2.57 pagi tadi, pemandu bas berusia 24 tahun tersebut telah ditahan di Simpang Renggam, Johor Bahru setelah serbuan dibuat sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis (IPD) Kluang.

Sementara itu, komen-komen memuji pemuda itu telah menimbulkan kemarahan ramai pengguna media sosial kerana ia dianggap telah memberikan galakan dan sokongan kepada tindakan Abang Bas berkenaan.

Rata-rata pengguna media sosial, menganggap perbuatan memuat naik video khususnya melibatkan golongan bawah umur perlu dipantau dan dikesan seawal mungkin bagi mengelakkan perkara tidak diingini berlaku.

“Dekat TikTok ramai ya kat komen tu yang jadi ‘enabler’ pemandu bas tu. Tak kira lelaki atau perempuan. Kalau anak saudara sekali pun boleh ke sentuh bibir anak orang macam tu?,” komen Alan.

“Ada sesuatu tak kena dengan otak kau kalau rasa benda yang dilakukan Abang Bas terhadap kanak-kanak tu normal. Itu baru sikit ditunjukkan, kita tak tahu sebaliknya suspek buat apa lagi,” komen Aliff pula. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI