fbpx

Projek ikonik SA Sentral dilancar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mahmud (tiga kiri) dan Amirudin (tengah) bersama rakan strategik pembangunan projek SA Sentral, malam ini. Foto: SHIDDIEQIIN ZON

SHAH ALAM – Projek pembangunan ikonik bandar berimpak tinggi milik Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Shah Alam Sentral (SA Sentral) dilancarkan secara rasmi malam ini.

Projek dengan nilai pembangunan kasar (GDV) berjumlah RM3 bilion di Seksyen 14, di sini, akan mengambil masa tujuh tahun untuk disiapkan.

Ketua Pegawai Eksekutif PKNS, Datuk Mahmud Abbas berkata, SA Sentral berpotensi mentransformasikan bandaraya Shah Alam menjadi daerah perniagaan pusat (CBD) dinamik dan mampu berdaya saing dengan Kuala Lumpur.

Jelas beliau, projek berkeluasan 64.7 hektar itu meliputi komponen pembangunan Plaza Alam Sentral, Plaza Perangsang, SACC Mall, SACC Walk, Kompleks PKNS dan Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC).

“SA Sentral berkonsepkan Pembangunan Berorientasikan Transit (TOD) iaitu semua bangunan akan dihubungkan antara satu sama lain.

“Ia bakal menyediakan prasarana merangkumi ruang pejabat, peruncitan, hotel, kemudahan MICE (Mesyuarat, Insentif, Persidangan dan Pameran), kediaman dan pusat kebudayaan,” katanya.

Pelancaran projek itu disempurnakan Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari di Galeria SA Sentral, di sini.

Pada majlis itu, PKNS turut memeterai memorandum persefahaman (MoU) bersama rakan kongsi strategik iaitu Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), TNB Engineering Corporation Sdn Bhd (TNEC), Amverton Prop, IKEA dan KRU Entertainment.

Menurut Mahmud, SA Sentral diharap memberi sumbangan signifikan kepada ekonomi negeri menerusi peluang pekerjaan baharu, tarikan pelaburan dan merangsang pertumbuhan ekonomi.

Ujarnya, pembangunan ikonik PKNS itu bertujuan mentakrifkan semula Shah Alam yang juga ibu negeri Selangor sebagai destinasi setaraf dengan Kuala Lumpur dan kawasan pusat perniagaan lain.

“Selain meningkatkan daya tarikannya kepada pelbagai lapisan masyarakat, ia bakal menyediakan ekosistem ideal bagi perniagaan serta usahawan,” ujarnya.

Tambah beliau, visi PKNS mahu memangkin pertumbuhan sosioekonomi dan kesejahteraan rakyat menerusi lokasi dipenuhi peluang sama ada perniagaan, pekerjaan atau kualiti hidup lebih baik.

“SA Sentral akan menjadi sebuah hab dinamik, menyatukan masyarakat dan merangsang pertumbuhan ekonomi.

“Ia akan menjadi nadi kepada bandaraya Shah Alam yang membawa era baharu bagi persekitaran kawasan itu kelak,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI