PETALING JAYA – Pertemuan dua hala dengan Menteri Koordinasi Bidang Kemaritiman Dan Investasi Republik Indonesia memperkukuhkan lagi kerjasama dua negara, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.
Beliau dalam satu hantaran di Facebook berkata, pertemuan bersama Menteri berkenaan, Luhut Binsar Pandjaitan menjadi platform bagi memperkuat hubungan terutama melibatkan Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (Petra).
“Dalam pertemuan bilateral 30 minit itu, kami membincangkan kerjasama antara Indonesia dan Malaysia yang mampu memperkukuhkan hubungan ASEAN,” katanya di sini hari ini.
Terdahulu, Fadillah mengetuai delegasi Malaysia ke Jakarta dalam sesi lawatan kerja rasmi beliau pada 4 hingga 6 September ini.
Dalam rangka lawatan kerja rasmi tersebut, beliau hadir dan menyampaikan ucaptama di Indonesia International Sustainability Forum 2024 (ISF 2024) di Jakarta, Indonesia pada 5 hingga 6 September atas jemputan Kerajaan Indonesia.
Kehadiran beliau bakal memperkukuh imej dan peranan Malaysia dalam agenda kelestarian dan kemampanan di peringkat antarabangsa terutamanya dalam visi peralihan tenaga, selain menggambarkan komitmen berterusan Malaysia dalam mencapai agenda net zero menjelang tahun 2050. – KOSMO! ONLINE