PARIS – Ketua jurulatih Perancis, Didier Deschamps menggesa barisan pemainnya supaya tidak memandang rendah keupayaan Itali menjelang aksi sulung Kumpulan B Liga Negara-Negara Eropah di Parc des Princes awal pagi esok.
Biarpun ramai menganggap prestasi Azzurri semakin menunjukkan penurunan, namun beliau percaya ia mungkin disebabkan fasa peralihan sedang dihadapi pasukan itu di bawah kendalian Luciano Spalletti.
Justeru, Deschamps sedia untuk memastikan pemain-pemainnya memberikan segala-galanya pada perlawanan tersebut dalam usaha mereka memulakan kempen Liga Negara-Negara Eropah kali ini dengan langkah kanan.
“Bagi saya, Itali masih kekal sebagai salah sebuah pasukan bola sepak terbaik di dunia. Kami tidak boleh memandang rendah keupayaan mereka biarpun ketika ini Itali sedang bergelut dengan aksi tidak menentu.
“Jika kami bermain sambil lewa pada perlawanan itu nanti, saya yakin mereka mampu menghukum Les Bleus. Oleh itu, saya mahu semua pemain bermain seperti biasa dan memberikan yang terbaik,” katanya.
Sementara itu, beliau juga menaruh sepenuh keyakinan terhadap penyerang, Kylian Mbappe untuk kembali menemui sentuhan berbisa apabila masih bergelut dengan prestasi selepas berhijrah ke Real Madrid.
“Saya tahu Mbappe merupakan seorang pemain yang sentiasa memaksa diri untuk menampilkan aksi terbaik. Sebenarnya saya tidak risau kerana dia akan kembali menemui sentuhan jaringan itu,” ujar Deschamps. – AGENSI