fbpx

Penipuan pelaburan guna Memorandum Maklumat palsu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PETALING JAYA – Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) mengeluarkan amaran kepada orang ramai berhubung taktik penipuan pelaburan baharu yang menggunakan Memorandum Maklumat (IM) palsu.

SC dalam satu kenyataan media berkata, IM palsu tersebut digunakan untuk mendapatkan pelaburan daripada orang ramai dengan mendakwa IM tersebut telah diserah atau disahkan oleh SC.

“Bawah Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 (CMSA), syarikat awam tidak tersenarai yang mengeluarkan IM untuk mengumpul dana dikehendaki menyerahkannya kepada SC dalam tempoh tujuh hari selepas terbitan kepada bakal pelabur.

“Bagaimanapun, penyerahan IM tidak dianggap sebagai pengesahan oleh SC. Syarikat tersebut memberi gambaran kepada pelabur bahawa ia telah mengeluarkan IM yang kononnya diserahkan kepada SC,” kata kenyataan itu hari ini.

Menurut SC, perbuatan syarikat berkenaan sekali gus mengelirukan pelabur dan memberikan kredibiliti kepada skim pelaburan tersebut.

Kata SC, syarikat itu tidak menyerahkan sebarang IM kepada SC dan mengesyaki ia adalah sebahagian daripada penipuan pelaburan.

“Tindakan telah diambil termasuk memfailkan laporan polis dan memasukkan syarikat itu dalam Senarai Makluman Pelabur SC di https://www.sc.com.my/investor-alert-list.

“SC memandang serius perkara ini kerana tindakan sedemikian boleh menyebabkan orang ramai percaya bahawa SC menyokong dan meluluskan produk pelaburan berkaitan,” kata SC.

Sehubungan itu, SC menggalakkan orang ramai untuk mengesahkan sebarang tawaran menggunakan nama SC atau mana-mana pegawainya dan melaporkan perkara itu serta sebarang aktiviti atau maklumat pelaburan yang mencurigakan kepada SC.

Jelas SC, langkah tersebut akan membantu melindungi pelabur daripada potensi risiko dan membantu mereka dalam membuat keputusan pelaburan termaklum.

“Orang ramai boleh mengesahkan tawaran pelaburan melalui SC Investment Checker di www.sc.com.my investment-checker.

“Untuk laporan atau pertanyaan, Pejabat Pengguna dan Pelabur SC boleh dihubungi di talian 03-6204 8999 atau melalui e-mel melalui [email protected],” kata kenyataan itu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI