PETALING JAYA – Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) mendedahkan komposisi penduduk berusia 60 tahun dan ke atas pada tahun ini meningkat kepada 11.6 peratus berbanding 5.4 peratus pada tahun 1970.
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, komposisi itu diunjurkan meningkat kepada 17.3 peratus pada tahun 2040.
“Pada 2039, penduduk berusia 60 tahun dan ke atas dijangka lebih ramai iaitu 6.17 juta berbanding bilangan penduduk berusia 14 tahun dan ke bawah (6.11 juta),” katanya pada Majlis Peluncuran MyAgeing Dashboard yang diadakan secara dalam talian hari ini.
Terdahulu, DOSM melancarkan MyAgeing Dashboard yang mengandungi visualisasi data interaktif dan maklumat berkaitan statistik penduduk, penuaan serta jangka hayat.
Selain itu, DOSM turut melancarkan OpenDOSM NextGen sebagai medium yang menyediakan katalog data dan visualisasi bagi memudahkan pengguna menganalisis pelbagai data dan boleh diakses melalui portal https://open.dosm.gov.my. – KOSMO! ONLINE