fbpx

PALAPES pemangkin kemajuan ketenteraan, pertahanan Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohamed Khaled Nordin beramah mesra dengan pegawai kadet PALAPES selepas menyampaikan syarahannya di dalam program Executive Lecture Menteri Pertahanan Bersama Pegawai Kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) Universiti Awam di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim semalam.

TANJUNG MALIM – Kementerian Pertahanan melihat Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) di universiti awam sebagai aset penting untuk Malaysia menguasai teknologi serta menguruskan realiti semasa dunia ketenteraan dan pertahanan.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, ini kerana PALAPES kini terdiri daripada golongan mahasiswa yang hidup dan belajar dengan kelebihan teknologi.

Jelasnya, pemahaman kita tentang ancaman tradisional seperti serangan komunis, peperangan atau pertempuran senjata secara fizikal dan penjajahan kuasa besar, tidak lagi memadai.

Sebaliknya jelas beliau, ancaman kini muncul dalam bentuk sains dan teknologi, selain elemen bukan tradisional seperti fenomena alam sekitar, krisis makanan, serangan siber, bantuan kemanusiaan dan bencana.

“Dan realiti pertahanan hari ini, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sememangnya memerlukan mereka yang memahami dan berminat dengan teknologi.

“Kecanggihan teknologi seperti Kecerdasan Buatan (AI), manipulasi data raya dan analitik serta aktiviti penggodaman kini menjadi ancaman yang semakin ketara dan menakutkan.

“Inovasi sains dan teknologi seperti pesawat udara tanpa pemandu (UAV) seperti drone telah mengubah kedinamikan dan cara sesuatu pertempuran bersenjata dijalankan,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa menyampaikan syarahannya di dalam program Executive Lecture Menteri Pertahanan Bersama Pegawai Kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) Universiti Awam di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di sini semalam.

Mohamad Khaled berkata, kementerian yang menyediakan peruntukan sekitar RM40 juta setahun untuk pelaksanaan PALAPES, melihat kepentingan dan mengambil berat perjalanan PALAPES kerana boleh menyumbang kepada pertahanan menyeluruh negara.

Beliau melihat PALAPES bukan sekadar keperluan mahasiswa untuk memenuhi syarat pengajian, malah sebagai satu kesinambungan dan mengharapkan mahasiswa yang menganggotai pasukan itu kelak menyertai ATM atau pasukan simpanan dan sukarela ATM selepas tamat belajar.

Menteri itu juga berharap semua pentadbir universiti memahami dengan jelas peranan PALAPES dan memastikan cara pengurusan pasukan itu selari dengan kepentingan pertahanan nasional.

“Saya harap PALAPES ini tidak dibiarkan tanpa sokongan,” katanya lagi yang turut bersetuju untuk menyediakan laluan khas sebanyak 100 tempat buat kadet PALAPES di universiti awam untuk menyertai ATM apabila tamat pengajian ijazah sarjana muda, bermula tahun depan.

Dalam syarahannya juga, Khaled menekankan kepada 1,000 pegawai Kadet PALAPES yang hadir tentang kepentingan Angkatan Sukarela dalam mendukung konsep Pertahanan Menyeluruh (HANRUH) Negara melalui perkongsian dua hala.

Program hari ini merupakan anjuran bersama Pusat Pengajian Pertahanan Nasional (PUSPAHANAS) dan Markas ATM Bahagian Mobilisasi Angkatan Simpanan (MATM-BMAS) bersempena  Istiadat Perbarisan Pentauliahan Diraja dan Pengurniaan Watikah Tauliah Pegawai Kadet PALAPES Ke-42 yang bakal diadakan pada 21 September 2024.

Turut hadir ialah Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan, Pemangku Panglima Tentera Laut, Laksamana Madya Datuk Zulhelmy Ithnain, Timbalan Panglima Tentera Udara, Leftenan Jeneral Datuk Seri Muhamad Norazlan Aris TUDM.

Selain itu, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan), Datin Roszanina Wahab; Ketua Staf Markas ATM, Leftenan Jeneral Datuk Arman Rumaizi Ahmad; Presiden PUSPAHANAS, Laksamana Madya Datuk Sabri Zali serta pegawai-pegawai kanan dan warga ATM.

Hari ini juga turut diadakan Upacara Pemakaian Pangkat Pegawai Kanan Tauliah Kehormat Askar Wataniah dan Pasukan Simpanan Sukarela Tentera Laut Diraja Malaysia oleh Menteri Pertahanan kepada Naib Canselor (NC) Universiti Malaya, Profesor Datuk Seri Ir. Dr. Noor Azuan Abu Osman, NC Universiti Putra Malaysia, Profesor Datuk Dr. Ahmad Farhan Mohamad Sadullah; dan NC Universiti Malaysia Sarawak, Profesor Dr. Ahmad Hata Rasit serta NC Universiti Teknologi Mara (UiTM), Profesor Datuk Dr. Shahrin Sahib.

Sementara itu, temu bual Kosmo! bersama beberapa mahasiswa yang menyertai PALAPES berpendapat penyertaan di dalam pasukan tersebut telah membuka lebih banyak peluang kerjaya buat mereka kerana latihan yang mereka jalani menjadikan setiap individu menjadi seorang yang berdisiplin, meningkatkan jati diri, ketahanan fizikal dan mental serta memiliki sikap bertanggungjawab dalam sesebuah organisasi.

Muhammad Fadhil Bin Anor@Anuar, 25, Pegawai Rendah Muda (PALAPES Darat) berkata, dia kini pandai menguruskan  dan membahagikan masa antara belajar dari Isnin hingga Jumaat manakala menjalani latihan pada hujung minggu.

“PALAPES mengajar diri untuk bersiap sedia menempuh alam pekerjaan, membina jati diri,  mentaliti dan fizikal, kena cergas, mengajar cara bagaimana hendak berkerjasama, tanggungjawab dan melaksanakan amanah.

“Jika tidak mengikut aliran kerja, ia boleh menggangu struktur organisasi,” katanya.

Muhammad Fadhil

Dia yang berasal dari Pasir Puteh, Kelantan kini dalam tahun akhir jurusan Pendidikan (Sejarah) di UPSI.

Muhammad Fadhil melahirkan rasa syukur apabila kesungguhannya untuk menyertai PALAPES mendapat sokongan pengajar serta rakan-rakan yang memberikan kelonggaran untuk membahagikan masa antara belajar dan menyertai latihan.

“Cabaran adalah dari segi masa. Misalnya Sabtu dan Ahad perlu menggunakan tenaga setelah pada hari minggu belajar. Penat tetapi berbaloi,” katanya turut bercita-cita untuk menyertai Angkatan Tentera Malaysia (ATM) selain menjadi seorang guru.

Shad Mohd. Rizal, 22, Pegawai Rendah Kanan (PALAPES Udara) berpandangan cadangan menyediakan  laluan khas untuk mendapat 100 tempat menyertai ATM apabila tamat pengajian ijazah sarjana muda bermula tahun depan, bakal menarik minat ramai lagi mahasiswa untuk menyertai PALAPES.

“Inisiatif itu baik. Langkah itu menjadikan PALAPES ada laluan kerjaya. Mahasiswa tidak akan menganggap apabila tamat pengajian, bermakna PALAPES habis setakat itu sahaja,” katanya yang mengambil jurusan Sains Komputer (Rangkaian Komputer) di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam.

Dia juga berkata, penyertaan di dalam PALAPES turut mendedahkan dirinya kepada bidang pertahanan negara termasuk isu-isu semasa Malaysia termasuklah berkenaan aset-aset penting.

Shad Mohd. Rizal

Di dalam program itu juga, Menteri Pertahanan mengharapkan mahasiswa yang menganggotai PALAPES agar menyertai ATM atau pasukan simpanan dan sukarela ATM selepas tamat belajar.

Dalam pada itu,  Nur Nifail Amsyar Tajuddin, 22, Pegawai Kadet Kanan (PALAPES Laut) berkata,  ucapan Menteri Pertahanan yang menganggap mahasiswa sebagai generasi  celik teknologi dan diperlukan dalam dunia ketenteraan serta pertahanan,  bakal menarik minat golongan muda untuk menyertai PALAPES dan seterusnya menyertai ATM.

Nur Nifail Amsyar

“Saya memilih bidang Kejuruteraan Perisian dan masih bergiat aktif dalam pasukan simpanan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM),” katanya yang belajar di Univerisiti Malaya dalam tahun akhir.

Beliau berkata, cabaran paling besar yang dihadapi adalah pembahagian masa antara belajar dan latihan, namun gembira dapat memenuhi kedua-duanya kerana sejak dari kecil, dia aktif dalam aktiviti beruniform termasuk menyertai perarakan Hari Kebangsaan.

“Ramai orang fikir apabila menyertai PALAPES, ia akan mengganggu masa belajar. Secara jujur, pada peringkat awal saya juga takut tentang isu tersebut.

“Tetapi latihan yang dijadualkan ialah pada hari minggu dan kami belajar dari Isnin hingga Jumaat. Jadi ia langsung tidak mengganggu waktu belajar dan latihan,” katanya.

Nur Nifail Amsyar gembira kerana turut hadir pada program pertemuan bersama  Menteri Pertahanan  di UPSI kerana ia dapat menaikkan semangat anggota PALAPES serta mendedahkan isu-isu semasa yang dihadapi negera.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI