PETALING JAYA – Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri mengucapkan terima kasih kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pembangunan Kanak-Kanak (JPKK) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) atas tindakan pantas menahan seorang pemandu bas yang merakam penumpangnya baru-baru ini.
Beliau dalam satu hantaran di aplikasi X turut berterima kasih kepada pihak yang tampil membuat laporan dan membawa isu tersebut kepadanya untuk tindakan.
“Terima kasih kepada semua yang telah membantu laporkan, ‘tag’ saya dan beri info mengenai isu ini.
“Keselamatan kanak-kanak adalah tanggungjawab bersama dan setiap anak perlu sentiasa dilindungi,” katanya di sini hari ini.
Terdahulu, Kosmo! Online melaporkan seorang pemandu bas ditahan selepas memuat naik rakaman video penumpang bas murid sekolah rendah dan melabel mereka sebagai ‘crush’ atau ‘kesayangan’.
Ketua Polis Johor, Komisioner M Kumar berkata, penahanan pemandu bas berusia 24 tahun itu dibuat sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis (IPD) Kluang, kira-kira pukul 2.57 pagi tadi di Simpang Renggam, Johor Bahru. – KOSMO! ONLINE