fbpx

‘Menang trofi bukan istimewa pun, saya hanya nak Oscar’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MEERQEEN anggap kemenangan dalam sebarang anugerah dalam industri hiburan kecuali Oscar tidak memberi impak terhadap kariernya.

KUALA LUMPUR – Menganggap tiada apa yang istimewa berlaku selepas menang anugerah di tanah air, pelakon Meerqeen mengakui tidak melihat trofi dimiliki setakat ini sebagai pengukur kejayaan dalam kariernya.

Meerqeen atau nama sebenarnya Muhammad Shameer Shauqeen Saiful Izam, 23, bagaimanapun menanam impian untuk menggenggam trofi Oscar yang disifatkan sebagai anugerah paling sah.

“Sejujurnya saya tidak pernah mengharapkan apa-apa penganugerahan pun sebab pencapaian saya bukan pada trofi, kejayaan saya adalah apabila nama saya ada dalam hati peminat.

“Kalau dapat alhamdulillah, jika sebaliknya saya teruskan hidup macam biasa sebab menang trofi bukan ada benda istimewa pun yang jadi dalam diri saya.

“Saya hanya idamkan trofi Oscar, itu impian kerana bagi saya anugerah itu sahaja yang paling ‘legit’. Mungkin kedengaran kelakar tetapi saya percaya kalau saya kerja keras, tiada yang mustahil untuk genggam trofi tersebut,” katanya kepada Kosmo! Online.

Tambah pelakon drama Cinta Untuk Sekali Lagi itu, kemenangan bagi sesetengah artis mungkin untuk menarik lebih banyak tawaran namun baginya, dia sudah mendapat semua itu sebelum menjulang sebarang anugerah lagi.

“Saya ada beritahu peminat untuk tidak mengundi saya kalau saya tercalon dalam mana-mana anugerah. Bagi saya, tidak mengapa saya tidak dapat semua itu asalkan mereka dapat layanan penuh daripada saya sebagai artis yang mereka minat.

“Mahu kata untuk lebih banyak tawaran mahupun ‘endorsement’, saya sudah lama dapat semua itu sebelum menang anugerah lagi.

“Semua orang boleh dapat itu jadi menang trofi bukan ada beza pun. Mungkin itu satu pencapaian tetapi bagi saya tidak menang pun tidak mengapa asalkan saya ada tempat dalam industri seni tanah air,” tegasnya.

Nama Meerqeen mula melonjak dalam dunia seni tempatan selepas membintangi drama popular Melur Untuk Firdaus bergandingan dengan pelakon berdarah kacukan, Anna Jobling

Rentetan itu, anak sulung daripada lima adik beradik itu dilimpahi dengan pelbagai peluang lakonan termasuk di Indonesia selain menjadi antara wajah dan duta jenama produk serta fesyen antarabangsa.

Imbas kembali, Meerqeen merupakan pemenang tempat ketiga menerusi pertandingan Hero Remaja bagi edisi 2019/2020 dan Aktor Televisyen Popular Anugerah Bintang Popular ke-35. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI