PUTRAJAYA – Kerajaan Malaysia memperoleh kemenangan penting hari ini apabila Mahkamah Agung Belanda memutuskan keputusan itu memihak kepada Malaysia dan menolak sepenuhnya rayuan difailkan oleh Kumpulan Sulu.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, keputusan muktamad Mahkamah Agung itu sekali gus menamatkan usaha tuntutan Sulu yang tidak sah terhadap Malaysia di Belanda.
Kata beliau, keputusan Mahkamah Agung ini susulan keputusan Mahkamah Rayuan Hague pada 27 Jun 2023 yang menyokong cabaran Malaysia terhadap permohonan Tuntutan Sulu di Belanda.
Ia bagi mengiktiraf dan menguatkuasakan apa yang didakwa sebagai Anugerah Akhir yang dikeluarkan secara tidak sah di Paris oleh Dr. Gonzalo Stampa pada 28 Februari 2022.
“Keputusan Mahkamah Rayuan Hague yang sepenuhnya mengesahkan pendirian Malaysia dalam kes Sulu dibuat secara tegas berdasarkan pelbagai alasan tersendiri termasuk pembatalan pelantikan Stampa sebagai penimbang tara oleh Mahkamah Sepanyol.
“(Ini termasuk) pembentukan tribunal timbang tara yang tidak wajar, ketiadaan perjanjian timbang tara yang sah, dan penangguhan luar biasa penguatkuasaan Anugerah Akhir yang diperolehi oleh Malaysia di Perancis adalah alasan tambahan untuk menolak pengiktirafan dan penguatkuasaan di Belanda,” katanya dalam kenyataan sebentar tadi.
Dalam keputusan hari ini, Azalina berkata, selepas semakan menyeluruh oleh panel lima Hakim, Mahkamah Agung Belanda menyatakan bahawa aduan yang difailkan oleh Tuntutan Sulu tidak boleh menyebabkan pembatalan keputusan 27 Jun 2023.
Ia sekali gus menolak rayuan Tuntutan Sulu sepenuhnya dan mengarahkan kumpulan itu untuk membayar kos rayuan sebagai pihak yang kalah.
Akibatnya, Tuntutan Sulu tidak akan dapat merampas aset Malaysia di Belanda dan keputusan hari ini akan memberi kesan besar terhadap sebarang cubaan penguatkuasaan yang tidak sah oleh kumpulan Sulu dan penyokong mereka di bidang kuasa lain.
“Malaysia mengalu-alukan keputusan penting ini sebagai kemenangan besar bagi kedaulatan undang-undang yang mewakili langkah lanjut ke arah penamatan kes Sulu dan pemeliharaan kesucian timbang tara antarabangsa sebagai bentuk alternatif penyelesaian pertikaian.
“Saya ingin menyampaikan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas komitmen teguh dan tekadnya untuk melindungi kedaulatan Malaysia dengan apa jua kos serta sokongan tidak berbelah bahagi beliau kepada pasukan Malaysia yang berjuang melawan tuntutan remeh ini,” katanya. – KOSMO! ONLINE