fbpx

MAG bakal bangkit lebih kukuh menjelang 2025

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Izham (tengah) pada sidang akhbar hari ini.

KUALA LUMPUR – Tindakan Malaysia Aviation Group (MAG) mengurangkan rangkaian penerbangannya membabitkan Malaysia Airlines, Firefly dan Amal bermula 19 Ogos hingga Disember ini merupakan satu keputusan sukar, tetapi perlu untuk kembali bangkit lebih kukuh tahun depan.

Pengarah Urusan Kumpulan MAG, Datuk Izham Ismail berkata, MAG merupakan sebuah syarikat penerbangan yang meletakkan keselamatan sebagai perkara paling utama dan tidak pernah berselindung di sebalik tabir mengenai sebarang permasalahan yang berlaku.

“Konteksnya ialah ini bukan hanya melibatkan Malaysia Airlines. Kami ada isu mengenai kebolehpercayaan engin dan kapasiti MRO (penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih). Biasanya apabila kami menghantar enjin untuk dibaik pulih mengambil masa 65 hingga 70 hari, namun hari ini enjin dikembalikan kepada kami pada 100 hari.

“Terdapat isu rantaian bekalan, penghantaran pesawat baharu tertangguh, pesawat kami yang sudah lama dan kekangan bahan mentah diperlukan untuk membuat alat ganti kerana ia datang daripada kawasan yang dilanda perang seperti Ukraine.

“Langkah (pengurangan penerbangan) ini perlu dilaksanakan jadi masuk tahun 2025, kami boleh meninggalkan isu ini di belakang,” katanya pada sidang akhbar yang diadakan hari ini.

Tindakan pembatalan dan penundaan penerbangan oleh MAG sebelum ini mendapat liputan meluas, memaksa ramai pelanggannya menjadualkan semula perjalanan mereka yang telah ditempah sebelum ini.

Izham menyifatkan pihaknya mengambil keputusan sukar untuk mengambil tanggungjawab memaklumkan kepada pelanggan lebih awal, meskipun sedar akan kontroversi yang bakal timbul daripada langkah berkenaan.

Berhubung prestasi kewangannya tahun ini, pihaknya sebelum ini berada di hadapan dengan NIAT (untung bersih selepas cukai dan faedah) yang psotof, namun ia pastinya terjejas dengan pengurangan penerbangan tersebut.

Mengulas dakwaan ramai jurutera MAG yang berhenti untuk berhijrah ke syarikat lain, Izham menjelaskan isu itu telah diperbesarkan dan hanyalah sebahagian daripada rantaian permasalahan yang wujud.

“Saya tidak tahu kenapa ramai yang bercakap soal pekerja, setiap tahun kami melatih 80 hingga 100 jurutera, ada yang pencen dan pergi ke tempat lain dan keadaan ini akan sentiasa berterusan.

“Jurutera kami telah mendapat kenaikan gaji sebanyak empat kali, kali terakhir pada Ogos lalu,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI