fbpx

Kesal ibu bapa tak risau isu ‘abang bas crush’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NANI menyokong tindakan SKMM mengingatkan ibu bapa supaya memastikan anak-anak berusia 13 tahun ke bawah tidak memiliki akaun media sosial.

PETALING JAYA – Berang dengan insiden ‘abang bas crush’, pempengaruh dan pengacara Nani Roslan meluahkan rasa kesal apabila masih ada ibu bapa mempertahankan tindakan lelaki terbabit.

Kata Nani, perbuatan lelaki berusia 24 tahun itu secara tidak langsung menggalakkan kandungan tidak senonoh membabitkan kanak-kanak.

“Sebagai seorang ibu kepada anak perempuan, saya agak terkesan dengan kejadian ini. Apa yang membuatkan saya marah apabila ada ibu bapa yang mengatakan anak-anak mereka masih selamat.

“Bagaimana mereka (ibu bapa) boleh kata selamat? Mereka (individu tidak bertanggungjawab) meletakkan video kanak-kanak perempuan mengatakan mereka comel dan baik. Kemudian kata kanak-kanak itu crush (kesayangan).

“Perbuatan itu secara tidak langsung dapat mengggalakkan atau membenih pemikiran begitu (seksual kanak-kanak) dalam kalangan masyarakat,” katanya dalam kandungan video di Instagram.

Pada masa sama, Nani turut menyokong tindakan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) mengingatkan ibu bapa supaya memastikan anak-anak berusia 13 tahun ke bawah tidak memiliki akaun media sosial.

“Disebabkan inilah kanak-kanak di bawah umur 13 tahun tidak digalakkan mempunyai media sosial.

“Siapa tahu mungkin gambar swafoto anak-anak itu digunakan oleh mereka yang berfikiran toksik seperti ini untuk perbuatan tidak senonoh,” katanya.

Nani turut menegaskan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebelum ini melaporkan menerima lebih 90,000 laporan membabitkan alamat protokol internet (IP) dikatakan terlibat dengan kandungan lucah kanak-kanak.

Pada Mei 2022, PDRM mengesahkan laporan sebanyak 93,368 alamat IP yang disyaki berkongsi kandungan lucah kanak-kanak di internet sejak 2017 hingga Mac 2022.

Sementara itu, polis menahan seorang pemandu bas yang sebelum ini tular memuat naik rakaman video penumpang murid sekolah rendah dan melabel mereka sebagai crush.

Ketua Polis Johor, Komisioner M Kumar berkata, penahanan pemandu bas berusia 24 tahun itu dibuat sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis (IPD) Kluang, kira-kira pukul 2.57 pagi hari ini di Simpang Renggam, Johor Bahru. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI