KUALA PILAH – Seorang warga emas berdepan detik cemas apabila diserang kerbau dalam kejadian di kolam udang dekat Kampung Jumbang, Seri Menanti, di sini, kira-kira pukul 5.30 petang kelmarin.
Menceritakan detik kejadian, mangsa, Mohd. Arshad Lebar sedang menjalankan rutin kerjanya memberi makan udang di kolam berkenaan dan sekumpulan kerbau masuk ke kawasan kolam tersebut.
Menurutnya, ketika itu dia diekori kerbau yang dipercayai mahu keluar dari kawasan tersebut dan secara tiba-tiba, seekor induk kerbau yang dianggarkan saiz empat kali ganda darinya pusing ke arahnya.
“Saya tak jangka langsung kerbau akan serang saya, tiba-tiba (kerbau) buat ‘u turn’, dia kejar saya. Saya lari lintang-pukang lah. Lepas itu dia terus kejar dan terus sondol saya sehingga saya tercampak ke dalam kolam kering.
“Dalam kolam tu, dia masuk lagi dia sondol saya. Kali ketiga dia sondol, saya pegang dia punya tanduk dan saya benamkan kepala dia ke tanah,” katanya ketika ditemui pemberita, di Kampung Mertang, di sini, hari ini.
Ujar Mohd. Arshad yang baharu sahaja bekerja kira-kira setahun di kolam berkenaan, dalam keadaan berdarah dan cedera di mata, dada serta perut, dia cuba keluar dari kolam tersebut dengan menyiarap naik ke tebing dan mencapai buluh untuk dijadikan tongkat.
“Mujur kesan disondol tanduk kerbau sedalam kira-kira enam sentimeter itu tidak mengenai paru-paru saya dan saya dibenarkan keluar dari Hospital Tuanku Ampuan Najihah di Kuala Pilah, semalam,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE