MELAKA – “Alhamdulillah kematian ayah kami terbela dan pemandu mabuk yang melanggar kami mendapat balasan atas kesalahan yang dilakukannya”.
Demikian luahan anak-anak Allahyarham Abdul Rahim Mohamad, 52, yang maut selepas kereta jenis Proton Wira dinaiki mereka sekeluarga dirempuh sebuah kereta Nissan Teana dari arah bertentangan di Jalan Klebang dekat sini pada 29 November 2021.
Ketiga-tiga anak mangsa, Wardah, 23; Nurul A’liyah,16, dan Sofia U’mairah, 14, serta bekas isterinya, Norizan Mat Isa, 43, yang turut berada dalam kenderaan terbabit terselamat, namun mengalami beberapa kecederaan termasuk patah tangan.
Menurut Wardah, nahas itu bukan sahaja meragut nyawa insan tersayang mereka, malah meninggalkan trauma kepada ahli keluarga lain termasuk dirinya yang kini terpaksa ‘memakai’ besi di lengannya.
“Walaupun kami terselamat, namun kami terpaksa menanggung kesan kecederaan dan trauma sepanjang umur.
“Lengan saya masih terdapat besi manakala Nurul A’liyah mengalami kecederaan pada bahagian otak yang menyebabkan dia lambat untuk memproses maklumat, manakala Sofia pula patah tangan dan menjejaskan pergerakannya,” katanya ketika hadir bersama-sama adik-adiknya di prosiding akhir kes di Mahkamah Majistret di sini, hari ini.
Mengulas lanjut dia memberitahu, ahli keluarganya berpuas hati dengan keputusan ditetapkan mahkamah apabila menjatuhkan hukuman penjara selama 10 tahun dan denda RM70,000 terhadap tertuduh, Lee Han Wee, 42.
“Biarlah hukuman ini menjadi pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat,” kata Wardah. – KOSMO! ONLINE