fbpx

Kedai tomyam, gunting rambut digempur imigresen, 42 PATI ditahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Antara 45 premis yang diserbu imigresen dan menahan 42 PATI di daerah Gombak, Selayang, Ampang, Batu Caves, Selangor, semalam.

GOMBAK – Jabatan Imigresen (JIM) Selangor menahan seramai 42 pendatang asing tanpa izin (PATI) menerusi operasi membabitkan pelbagai jenis premis di empat daerah berbeza, semalam.

Op Selera, Op Kutip, Op Belanja, Op Dandan yang dilaksanakan bermula pukul 10 pagi itu menyasarkan 45 premis di sekitar Batu Caves, Selayang, Ampang dan Gombak .

Bagaimanapun, salah satu serbuan dilakukan telah berdepan provokasi daripada sekumpulan warga tempatan yang tidak berpuas hati dengan mendakwa serbuan dijalankan membabitkan premis tertentu sahaja.

Pengarah Imigresen Selangor, Khairrul Aminus Kamaruddin berkata, bahawa setiap operasi yang dijalankan adalah berdasarkan aduan yang diterima.

Jelas beliau, dalam serbuan dilakukan, seramai 166 warga asing diperiksa membawa kepada penahan 42 PATI serta lapan majikan.

“Penahanan membabitkan 18 lelaki 22 wanita dan dua kanak-kanak lelaki membabitkan warga Indonesia, Bangladesh, Thailand, Pakistan dan India.

“Kesemua yang ditahan berusia 17 tahun sehingga 50 tahun berperanan sebagai tukang gunting rambut, pelayan kedai makan, tukang masak dan jurujual,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelas beliau, kesemua tangkapan disiasat atas kesalahan Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63.

“Operasi penguatkuasaan dilaksanakan secara berterusan dan mengingatkan orang ramai dan majikan supaya tidak melindungi PATI atau terpaksa berhadapan dengan tindakan undang-undang.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat tentang PATI atau sebarang maklumat yang boleh membantu JIM dalam melaksanakan penguatkuasaan supaya tampil menyalurkan maklumat tersebut,” katanya.-KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI