PETALING JAYA – Tenaga Nasional Berhad (TNB) menasihatkan pengguna agar tidak mudah terpedaya dengan helah individu atau pihak ketiga yang mendekati pengguna secara terus bagi sebarang tujuan pembayaran bil elektrik termasuklah pemberian diskaun.
TNB dalam kenyataan menegaskan, pihaknya tidak pernah melantik ejen persendirian untuk menghubungi pengguna sebagai wakil bagi urusan pembayaran bil termasuk melalui panggilan telefon, WhatsApp dan media sosial.
“TNB merujuk kepada laporan pengguna yang tertipu dengan tawaran diskaun bil sehingga 35
peratus. Namun, TNB tidak pernah menawarkan diskaun atas jumlah bil elektrik.
“Sebagai organisasi yang sentiasa mengutamakan pelanggan, TNB menyediakan pelbagai saluran pembayaran bagi memudahkan pengguna,” kata TNB.
Dalam kenyataan sama, TNB turut menyenaraikan beberapa saluran rasmi bagi pembayaran bil elektrik.
Antaranya, pengguna boleh membayar bil elektrik mereka melalui aplikasi mudah alih myTNB yang boleh dimuat turun secara percuma serta menerusi portal myTNB (www.mytnb.com.my).
“Saluran alternatif seperti perbankan dalam talian (online banking), JomPAY, e-Wallet, pembayaran bulanan secara direct (terus) debit atau autopay (pembayaran automatik) serta pembayaran fizikal.
“Untuk pengguna yang mempunyai tunggakan bil elektrik, semua pembayaran tertunggak tersebut tetap perlu dibuat melalui saluran pembayaran rasmi TNB,” jelas kenyataan itu.
Untuk sebarang pertanyaan lain berkaitan akaun, pengguna boleh menghubungi TNB CareLine di talian 1-300-88-5454, Facebook TNB Careline atau X @Tenaga_Nasional. – KOSMO! ONLINE