fbpx

Jangan benarkan anak-anak jadi bahan video orang lain

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PETALING JAYA – Public Health Malaysia (PHM) menasihatkan ibu bapa untuk tidak membenarkan anak-anak mereka dijadikan bahan kandungan bagi meraih tontonan yang tinggi di media sosial.

Menerusi hantaran yang dimuat naik PHM di Facebook, portal kesihatan itu menjelaskan bahawa tindakan berkongsi gambar atau video kanak-kanak tanpa kawalan bukan sahaja membuka ruang kepada eksploitasi, tetapi juga memberi peluang kepada individu berniat jahat untuk mengambil kesempatan.

“Tanpa kita sedari, tindakan sebegini sebenarnya merupakan satu langkah ke arah ‘grooming’, iaitu usaha memanipulasi kanak-kanak secara perlahan-lahan untuk tujuan yang tidak baik,” kata PHM.

Dalam masa sama, PHM turut menyediakan panduan kepada ibu bapa dalam menangani kes sedemikian agar anak-anak mereka tidak menjadi mangsa kandungan tidak moral.

“Apa yang ibu bapa boleh lakukan, jangan benarkan anak anda jadi bahan kandungan orang lain. Walaupun nampak tidak berbahaya, anak-anak anda mungkin dieksploitasi untuk keuntungan peribadi.

“Berbincang dengan anak anda dan ajar mereka tentang sempadan diri dan apa yang boleh dan tidak boleh dikongsi dengan orang lain selain sentiasa pantau aktiviti media sosial anak anda agar tidak terdedah kepada individu asing yang mungkin mempunyai niat tersembunyi,” pesan PHM.

Kata PHM lagi, jadilah pengguna media sosial yang bijak dan tidak semua perkongsian di media sosial itu memberi keseronokkan.

“Sentiasa berwaspada dengan siapa kita benarkan untuk mempengaruhi kehidupan anak-anak kita.

“Sebarang kebimbangan mengenai eksploitasi kanak-kanak boleh dilaporkan kepada pihak berkuasa atau saluran rasmi bagi mendapatkan bantuan dan tindakan segera,” tegas PHM. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI