fbpx

‘Hati-hati trend deepfake, sesiapa pun boleh jadi kita’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NAZRIEF menegaskan trend 'deepfake' lebih menakutkan berbanding gangguan nakal dalam laman sosial. - SYAKIR RADIN

KUALA LUMPUR – Berharap penipuan menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) diberi perhatian serius, pelakon Nazrief Nazri menegaskan pemalsuan wajah atau deepfake lebih bahaya daripada gangguan dalam laman sosial.

Nazrief atau nama sebenarnya, Mohamad Nazrief Mohamad Nazri, 32, berkata, trend deepfake merupakan ancaman menakutkan dan berisiko memusnahkan reputasi individu yang dicuri identitinya selain mengundang kerugian kepada mangsa lain andai membabitkan wang.

“Kalau sebelum ni saya kerap diganggu mesej nakal daripada individu tidak dikenali, tapi sekarang trend deepfake pula yang semakin menakutkan.

“Hakikatnya deepfake lebih bahaya berbanding gangguan nakal dalam laman sosial. Biasanya setakat usik atau kecam itu saya anggap mereka cuma budak-budak dan awal 20-an.

“Bukan apa, saya selalu guna aplikasi ChatGPT untuk buat rujukan lakonan, risau sebab sesiapa boleh jadi diri kita. Memang kena hati-hati,” katanya selepas majlis memperkenalkan pempengaruh maya pertama, Jazmine, anjuran Influenstar Asia, baru-baru ini.

Pada masa sama, pelakon drama Liar itu menzahirkan rasa syukur masih relevan ketika industri hiburan kini cenderung mengetengahkan pempengaruh sebagai pelaris produk.

Begitupun, menurutnya tidak perlu obses dengan trend yang berpotensi memalukan diri, sebaliknya terus berkongsi hal kerja atau menjadikan laman sosial sebagai gelanggang mendekati peminat.

“Musim berganti, kini pempengaruh jadi perhatian. Saya pasti golongan pelakon, penyanyi dan penggiat cabang seni lain masih relevan cuma mungkin sekarang pempengaruh lebih mencuri perhatian.

“Mujur juga saya dah bina empayar dan pengaruh saya sejak awal pembabitan dalam industri, jadi tak perlu nak buat video viral merepek atau kurang sesuai demi tular.

“Dari segi konten media sosial, kita tak perlu terikut dengan trend. Kita buat cara kita. Saya memang jaga bab kandungan media sosial kerana sedar kepentingannya selain enggan menyalahgunakan medium terbabit,” ujarnya.

Sebelum ini cef selebriti, Datuk Fazley Yaakob menjadi mangsa terbaharu penipuan dalam talian yang menggunakan suara serta gambarnya menjual periuk menerusi teknologi AI. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI