fbpx

Hartalega peruntuk capex RM300 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kompleks pengeluaran sarung tangan milik Hartalega di Sepang.

KUALA LUMPUR – Hartalega Holdings Berhad menetapkan perbelanjaan modal (capex) sebanyak RM300 juta bagi tempoh 12 bulan akan datang.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutifnya, Kuan Mun Leong, RM170 juta daripada peruntukan tersebut adalah untuk pelaburan bagi meningkatkan kapasiti pengeluaran, manakala bakinya untuk menaik taraf automasi operasi.

“Pelaburan besar bagi meningkatkan teknologi bukan sahaja disebabkan persaingan, tetapi juga bertujuan meningkatkan kualiti produk yang dikeluarkan,” katanya dalam Mesyuarat Agung Tahunan ke-18 Hartalega di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Mun Leong berkata, pihaknya menyasarkan peningkatan pengeluaran bulanan sebanyak 2.7 bilion keping sarung tangan menjelang akhir tahun kewangan 2025, berbanding kapasiti semasa yang mencecah 2.2 bilion keping.

Hartalega beroleh keuntungan selepas cukai sebanyak RM20 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2024 (TK2024), yang menunjukkan pemulihan syarikat daripada kerugian pada tahun kewangan lepas serta mencerminkan keupayaannya untuk mengharungi persekitaran industri yang mencabar.

Bagi tahun kewangan semasa, Hartalega mencatatkan keuntungan selepas cukai lebih tinggi berjumlah RM32 juta bagi suku pertama berakhir 30 Jun 2024, berbanding kerugian selepas cukai RM51 juta yang dicatatkan dalam tempoh sama tahun sebelumnya.

Syarikat turut meningkatkan kecekapan operasi dengan kadar penggunaan kilang lebih tinggi dengan struktur kos lebih rendah, hasil penyusunan semula kos operasi melalui penutupan kilang di Bestari Jaya dan penggabungan seluruh operasi pengeluaran di kemudahan bersepadu Kompleks Pengilang Sarung Tangan Bersepadu Generasi Akan Datang (NGC) yang lebih canggih dan cekap.

Mencerminkan komitmen syarikat dalam menjana pulangan lestar kepada pemegang saham, Lembaga Pengarah mencadangkan dividen pertama dan terakhir sebanyak 0.35 sen sesaham biasa bagi TK2024, mewakili nisbah pembayaran sebanyak 60 peratus daripada untung bersih selepas cukai. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI