fbpx

Gagasan Nadi Cergas, PNSB pecah tanah projek Idaman Amani RM286 juta di Bandar Elmina

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari (Tengah) menyempurnakan acara pecah tanah bagi pembinaan projek perumahan mampu milik, Idaman Amani di Bandar Elmina, hari ini.

PETALING JAYA – Gagasan Nadi Cergas Berhad dan Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) hari ini menganjurkan majlis pecah tanah untuk projek perumahan mampu milik Idaman Amani bernilai RM286 juta di Bandar Elmina, Shah Alam.

Projek atas tapak seluas 8.9 ekar merangkumi dua blok 32 tingkat yang terdiri daripada 1,063 pangsapuri mampu milik separa berperabot itu antara satu usaha Kerajaan Negeri Selangor untuk meningkatkan pemilikan rumah dalam golongan B40 dan M40.

Idaman Amani dibangunkan oleh Gagasan Nadi Cergas Berhad dengan kerjasama PNSB Construction Sdn. Bhd. (PCSB), sebuah anak syarikat PNSB dan dijangka siap menjelang suku ketiga tahun 2028.

PNSB merupakan anak syarikat milik penuh Kerajaan Negeri Selangor, dibawah seliaan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI.

Idaman Amani menawarkan unit tiga bilik tidur dengan ruang binaan 1,000 dan 1,120 kaki persegi, bermula RM250,000 seunit.

Setiap unit dilengkapi dengan kemudahan seperti televisyen, peti sejuk, kabinet dapur, almari, pemanas air dan penghawa dingin untuk gaya hidup yang selesa dan moden.

Ketua Pegawai Eksekutif, PNSB, Raja Ahmad Shahrir Iskandar Raja Salim berkata, projek berkenaan merupakan projek usahasama ketiga bagi Kumpulan PNSB bersama Gagasan Nadi Cergas, selepas pelancaran Idaman Bukit Jelutong pada 26 Ogos 2022 (1,260 unit) dan Idaman Kwasa Damansara (1,669 unit untuk fasa 1) pada 17 Februari 2023.

“Kedua-dua buah projek ini sedang giat dilaksanakan dan dijangka siap pada tahun 2026.

“PNSB melalui anak syarikatnya, PCSB akan terus merealisasikan Projek Rumah Idaman di kawasan-kawasan strategik dan berpotensi tinggi di Selangor.

“Melalui projek-projek yang dilaksanakan dan direalisasikan oleh PCSB, sebanyak 41,361 unit Rumah Idaman bakal dibangunkan bersama rakan-rakan strategik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI