FENER – Pengurus Fenerbahce, Jose Mourinho dilaporkan berminat untuk mendapatkan khidmat pemain sayap Manchester United, Antony melalui perpindahan pinjaman selain dikhabarkan kelab Turki itu semakin hampir mencapai persetujuan dengan United.
Meskipun jendela perpindahan Liga Perdana Inggeris (EPL) telah ditutup, kelab-kelab dalam Liga Super Turki masih dibenarkan melakukan pembelian pemain sehingga 13 September.
Biarpun Antony bertekad untuk terus berjuang mendapatkan tempat di Old Trafford, Fenerbahce berharap kehadiran Mourinho selaku bekas pengurus The Red Devils, dapat membantu mereka memujuk pemain tersebut untuk menyertai Fenerbahce.
Penglibatan Antony musim ini mungkin terhad susulan prestasi musim lalunya apabila dia hanya menyumbang satu gol dan satu bantuan jaringan dalam EPL.
Dalam perkembangan lain, Galatasaray juga dikaitkan dengan minat terhadap Casemiro yang mahukan khidmat pemain itu secara pinjaman selama satu musim selepas prestasi kurang memuaskan dalam kekalahan baru-baru ini kepada Liverpool.
Pemain tengah bertahan berusia 32 tahun itu dikatakan bertanggungjawab ke atas dua gol yang dibolosi pada separuh masa pertama sebelum ditukar keluar pada waktu rehat.
Kedudukannya dalam pasukan kini mungkin terancam selepas ketibaan Manuel Ugarte dari Paris Saint-Germain (PSG) sekali gus membuka ruang untuk kemungkinan lebih banyak perpindahan keluar dari Old Trafford. – AGENSI