BESUT – Dua pengasuh sebuah taska di Kampung Raja di sini ditahan hari ini bagi membantu siasatan dakwaan mendera dua bayi dalam jagaan mereka baru-baru ini.
Kedua-dua suspek masing-masing berusia 26 dan 50 tahun diberkas polis berikutan aduan dibuat salah seorang ibu mangsa pada pukul 7 malam semalam.
Mangsa merupakan seorang bayi perempuan berusia setahun dan kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun.
Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Abdul Rozak Muhammad berkata, polis kemudian bertindak mengenalpasti pengasuh taska terlibat sebelum menahan mereka bagi membantu siasatan.
“Siasatan awal mendapati taska terlibat berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Berdasarkan klip video yang tular tersebut, bayi terbabit yang sedang menangis didakwa telah ditarik secara kasar dari arah belakang sehingga terjatuh terlentang.
Abdul Rozak berkata, kedua-dua suspek akan dibawa ke mahkamah esok bagi permohonan reman dan kes disiasat mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001. – KOSMO! ONLINE