PUTRAJAYA- Pembeli kereta terpakai dari luar negara (recond) atau tempatan kini boleh mendapatkan laporan data penuh sama ada kenderaan itu pernah membuat tuntutan kemalangan dengan pihak insurans atau sebaliknya.
Perkhidmatan terbaharu itu dibangunkan syarikat semakan kondisi kenderaan, SCRUT sebagai satu inisiatif membantu pengguna mendapatkan data berkaitan termasuk tahap kerosakan akibat sesuatu kemalangan yang berlaku.
Menurut Pengasas SCRUT, Ahmad Aliff A S Ahmad Shariffuddin, laporan itu boleh membantu pengguna sebelum mereka membuat keputusan untuk membeli kereta terpakai selain mempertimbangkan harga mengikut kondisi kenderaan itu.
“Terdapat tiga tahap kemalangan akan disediakan menerusi laporan itu iaitu kesan kemalangan rendah, sederhana dan tinggi termasuk status kenderaan pernah disiytihar sebagai ‘total lost’ atau tidak,” katanya hari ini.
Jelas SCRUT, pihaknya juga sedang bekerjasama dengan pihak luar untuk mengambil gambar-gambar kemalangan kenderaan yang berlaku di lapangan sebagai satu himpunan rekod dalam data SCRUT.
Justeru, katanya, pengguna boleh mengetahui secara terperinci status kenderaan sebelum dibeli dan membandingkan dengan tawaran yang dibuat oleh penjual kenderaan terpakai bagi mengelak mereka ditipu sehingga berlaku kerugian.
“Bagaimanapun, SCRUT hanya memberikan pandangan melalui penyediaan laporan tersebut tanpa masuk campur dalam urusan pembelian atau mahu mempengaruhi keputusan pengguna untuk membeli kenderaan itu,” katanya. – KOSMO! ONLINE