fbpx

Bekas juara dunia minta maaf, janji bangkit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SURESH terpaksa akur dengan kehebatan lawannya dari Iran apabila tewas di pusingan 1/8 awal pagi semalam. - MSN MALAYSIA

KEKECEWAAN jelas terpancar di wajah atlet memanah para negara, S. Suresh apabila tidak dapat meneruskan kemaraan pada Sukan Paralimpik Paris 2024 selepas tersingkir di pusingan 1/8 menerusi acara recurve terbuka lelaki kelmarin.

Pada saingan yang berlangsung di Les Invalides, Paris, pemanah berusia 31 tahun itu terpaksa akur dengan kehebatan lawan dari Iran, Mohammad Reza Arab Ameri apabila tewas menerusi keputusan 2-6.

Biarpun mendahului 2-0 di awal saingan, namun Sureh gagal menghalang kebangkitan Reza sekali gus menyaksikan dia terpaksa akur untuk melupakan pertandingan itu lebih awal.

Meskipun kecewa, namun ia langsung tidak mematahkan semangat juang jaguh memanah para negara itu apabila melaungkan tekad untuk bangkit menebus kegagalan pada Sukan Paralimpik Los Angeles 2028 (LA 2028).

“Sebenarnya saya sudah cuba tampilkan aksi terbaik di sini tetapi anak panah tidak masuk ke sasaran yang dimahukan. Saya cuba lawan dan yakin boleh pergi jauh tetapi nasib memihak kepada pihak lawan.

“Saya meminta maaf kepada keluarga dan seluruh rakyat Malaysia kerana tidak dapat bawa pulang pingat kali ini, tidak ada rezeki. Pada edisi seterusnya di LA, saya akan buat sesuatu untuk Malaysia,” katanya.

Atlet kelahiran Kedah itu menampilkan aksi cukup baik ketika menyingkirkan pemanah dari Amerika Syarikat (AS), Eric Bennett di pusingan 1/16 menerusi kemenangan selesa 6-2.

Sebagai rekod, ini adalah penampilan kedua Suresh di temasya sukan terbesar dunia itu dengan aksi sulung pada Paralimpik Tokyo 2020 menyaksikan dia sekadar menamatkan saingan di pusingan 1/16.

Sementara itu, jurulatih skuad memanah negara, Marzuki Zakaria tetap berbangga dengan aksi ditampilkan anak buahnya apabila menganggap Suresh sudah menunjukkan peningkatan ketara pada temasya kali ini.

“Alhamdulillah, ini adalah peningkatan yang kita dapat selepas aksi di Tokyo dan dia pun tidak gugup. Bagaimanapun, kita akur dengan pihak lawan yang menunjukkan prestasi lebih baik,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI