fbpx

Bawa kurta sertai acara larian, 29 warga Pakistan gagal masuk Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Seramai 29 warga Pakistan yang ditolak kemasukan ke Malaysia sebaik tiba di LTAL, Langkawi pada kelmarin kerana disyaki bukan pelancong tulen.

LANGKAWI – Sanggup membelanjakan hampir RM2,000 untuk kos penerbangan dan perbelanjaan bagi menyertai satu acara larian di Pulau Tuba yang menawarkan hadiah utama serjumlah RM300 selain membawa kurta.

Demikian antara tindakan mencurigakan 29 warga Pakistan yang dikesan Jabatan Imigresen (JIM) Kedah selepas kumpulan warga asing itu tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi (LTAL) di sini kelmarin.

Pengarah Imigresen Kedah, Mohd Ridzzuan Mohd. Zain berkata, 28 lelaki dan seorang wanita berasal yang berasal dari kawasan pedalaman Pakistan itu tiba di LTAL dengan menaiki pesawat FZ1603.

Katanya, kumpulan itu mendakwa mereka datang ke Langkawi untuk menyertai Tuba Cross Country Run yang dijadualkan berlangsung esok.

“Hasil soal siasat mendapati kumpulan itu membelanjakan hampir RM2,000 untuk kos penerbangan dan perbelanjaan lain semata-mata untuk menyertai acara larian di sini. Apa yang menarik perhatian adalah yuran penyertaan cuma RM45 dan hadiah utama RM300.

“Malah kumpulan ini juga membawa kurta tanpa pakaian dan kasut sukan bersesuaian untuk acara tersebut. Adakah ini strategi untuk menyembunyikan motif sebenar mereka dan kenapa tidak dibawa pakaian yang bersesuaian,” katanya di sini hari ini.

Menurut Mohd Ridzzuan, kumpulan itu disyaki menggunakan modus operandi licik dengan menempah bilik hotel bajet di daerah ini dan membeli tiket pulang ke Dubai sehari selepas acara.

“Ia menimbulkan beberapa persoalan termasuk mengapa mereka merancang untuk meninggalkan Malaysia segera selepas acara.

“Kebiasaannya kebanyakan peserta yang menyertai program di sini akan mengambil kesempatan untuk melancong dan meneroka lokasi-lokasi sebelum kembali ke negara mereka,” ujarnya.

Malah, kata beliau, penganjur acara Tuba Cross Country Run turut mengesahkan tiada peserta asing lain yang mendaftar selain kumpulan itu.

Tambahnya, disebabkan niat dan motif yang tidak munasabah, pegawai Imigresen di kaunter LTAL memutuskan untuk menolak kemasukan mereka di bawah Seksyen 8(3)(c) kerana disyaki bukan pelancong tulen.

“Keputusan ini diambil untuk memastikan keselamatan dan integriti acara larian serta negara. Kesemua 29 warga Pakistan itu telah dihantar pulang ke negara asal selepas diberikan notis penolakan masuk,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI