KOTA KINABALU – Jabatan Imigresen (JIM) Sabah menghantar pulang seramai 652 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Filipina dari Pelabuhan Sandakan ke negara asal semalam.
Menggunakan pengangkutan laut ke Pelabuhan Zamboanga City, Filipina, semua PATI berkenaan membabitkan tahanan di Depot Imigresen Papar, Sandakan dan Tawau.
Pengarah Jabatan Imigresen Sabah, Datuk SH Sitti Saleha Habib Yusoff berkata, penghantaran pulang berkenaan melibatkan seramai 469 lelaki dan 130 wanita.
“Selain itu, kita juga menghantar pulang 43 kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah dan 10 kanak-kanak berusia 23 bulan ke bawah. Semua PATI berusia lingkungan dua bulan hingga 76 tahun ini melakukan pelbagai kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan–Peraturan Imigresen 1963.
“Ini adalah program pemindahan siri 13 untuk kategori Usir melalui laut bagi tahun 2024 ke negara asal masing-masing menggunakan pengangkutan Vessel MV Antonia 1,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Mengulas lanjut, SH Sitti Saleha menyatakan seramai 3,118 tahanan warga Filipina dipindahkan dalam tempoh 2024 membabitkan pengangkutan laut dan udara menjadikan jumlah besar seramai 4,809 tahanan keseluruhan statistik warga asing yang dipindahkan.-KOSMO! ONLINE