IPOH – Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Perak menerima sebanyak 62 notifikasi kes keracunan makanan melibatkan pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Taiping pada 30 dan 31 Ogos lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Kesihatan dan Hal Ehwal Masyarakat India negeri, A. Sivanesan berkata, JKN Perak melalui Pejabat Kesihatan Daerah Larut, Matang dan Selama (PKD LMS) menerima 30 notifikasi kes pertama dari Klinik Kesihatan Taiping melibatkan pelajar yang tinggal di asrama.
Katanya, hasil siasatan awal mendapati, kesemua pelajar tersebut mempunyai sejarah makan di Dewan Makan, MRSM Taiping.
“Sebanyak 32 kes tambahan dikesan sehingga 31 Ogos lalu menjadikan jumlah keseluruhan adalah sebanyak 62 kes. Julat umur kes adalah antara 16 dan 17 tahun.
“Gejala terawal dikesan adalah 28 Ogos lalu pada pukul 4.00 pagi manakala gejala terakhir pula pada 30 Ogos lalu puku 6 petang,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, seramai 54 pelajar mengalami gejala sakit perut, cirit birit (50), pening (43), demam (33), loya (32) dan muntah (32).
Katanya, Seramai 30 pelajar telah mendapat rawatan awal di Klinik Kesihatan Taiping manakala seorang pelajar dirujuk ke Hospital Taiping kerana mengalami ‘tachycardia’ tetapi hanya diberi rawatan sebagai pesakit luar.
“Tiga pelajar pula dikesan dan dirawat semasa aktiviti Active Case Detection (ACD) manakala 29 orang lagi tidak menerima rawatan kerana bergejala ringan. Kesemua pelajar dalam keadaan stabil dan tiada kes yang dimasukkan ke wad.
“Sebanyak empat sampel klinikal telah diambil daripada kalangan kes yang bergejala serta dua sampel makanan dan 13 sampel pengendali telah dihantar ke Makmal Kesihatan Awam Ipoh untuk dianalisis,” katanya.
Tambahnya, pemeriksaan ke atas Dewan Makan MRSM Taiping pada 30 Ogos lalu mendapati rating pada waktu itu adalah 70.11 peratus dan arahan penutupan dikeluarkan di bawah Seksyen 18(1)(d) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.
“Pemeriksaan semula ke atas dewan makan itu pada Isnin lalu mendapati rating pada waktu tersebut adalah 88.51 peratus dan dibenarkan beroperasi semula dengan penambahbaikan yang dicadangkan,” ujar beliau. – KOSMO! ONLINE