BIARPUN tidak dapat membawa pulang pingat emas yang diharapkan pada Sukan Paralimpik Paris 2024, namun kejayaan meraih perak dianggap sebagai pencapaian membanggakan buat jaguh lontar peluru para negara, Muhammad Ziyad Zolkefli.
Pingat perak itu sedikit sebanyak menebus kekecewaan atlet berusia 34 tahun berkenaan yang kempunan untuk meraih emas dan meleburkan rekod dunia sewaktu Paralimpik Tokyo 2020 selepas penyertaannya dibatalkan.
Ziyad menyuarakan rasa syukur atas keputusan dicatatkan kerana menganggap dia sudah memberikan segala-galanya pada aksi final lontar peluru lelaki F20 (kecacatan intelektual) yang berlangsung di Stade de France, Paris awal pagi semalam.
Dia juga lega kerana akhirnya dapat menutup kisah duka pernah dialami pada edisi terdahulu di Tokyo, Jepun sehingga menyaksikannya pulang dengan tangan kosong.
“Pertama sekali, Alhamdulillah berkat usaha, kesabaran dan daya tahan selama tiga tahun ini membuahkan hasil. Saya sudah cuba melakukan yang terbaik untuk negara dan kalau boleh memang nak dapatkan pingat emas.
“Bagaimanapun, saya dapat perak dan ia pencapaian yang dapat dibanggakan selain menutup kisah silam sebelum ini. Dalam mana-mana pertandingan yang disertai, saya sentiasa cuba menampilkan aksi terbaik,” katanya.
Ziyad turut memberi gambaran untuk meneruskan perjuangan bagi merebut pingat emas pada Sukan Paralimpik Los Angeles 2028 (LA 2028) apabila memberitahu dia tidak pernah terfikir mengumumkan persaraan.
Dalam aksi final tersebut, Ziyad melakukan lontaran terbaiknya pada percubaan ketiga dengan catatan 17.18 meter (m), masih jauh jika berbanding catatan peribadi terbaik (PB) 17.43m yang dilakukannya pada Kejohanan Olahraga Para Dunia di Kobe, Jepun, Mei lalu.
Pingat emas menjadi milik atlet Ukraine, Oleksandr Yarovyi menerusi rekod dunia baharu, 17.61m, manakala rakan senegaranya, Maksym Koval berpuas hati meraih gangsa selepas mencatat 16.99m.
Pada Paralimpik Tokyo lalu, Ziyad terpaksa akur pulang dengan tangan kosong apabila penyertaannya dibatalkan meskipun catatan 17.94m dilakukan sepatutnya melayakkan dia untuk merangkul emas dan memecahkan rekod dunia.
Ia gara-gara kelewatan atlet kelahiran Selangor itu untuk melaporkan diri di bilik menunggu seperti yang ditetapkan, sekali gus memaksa kem Ukraine melakukan protes sehingga menyaksikan pingat emas Ziyad ditarik balik.