GEORGE TOWN – Tiga lagi individu terdiri daripada dua doktor pakar tulang dan seorang ejen direman selama empat hari bagi membantu siasatan kes pemalsuan tuntutan hilang upaya Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).
Dua doktor ortopedik berusia 43 dan 50 tahun serta ejen berusia 32 tahun tiba dengan menaiki van Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Majistret di sini kira-kira pukul 8.50 pagi tadi.
Mereka yang dibawa dengan kedua-dua tangan bergari dan berpakaian lokap SPRM turut diiring pegawai SPRM.
Penahanan reman tiga suspek itu menjadikan secara keseluruhannya seramai 36 individu dengan lima daripadanya adalah doktor pakar tulang yang ditahan berhubung kartel penipuan Perkeso.
Difahamkan, kedua-dua doktor terbabit bertugas di sebuah hospital kerajaan di Seberang Jaya dan reman terhadap mereka dibenarkan Majistret Siti Nurul Suhaila Baharin.
Menurut sumber, ketiga-tiga suspek itu ditahan semalam dalam satu operasi yang dijalankan SPRM susulan kes sama iaitu memalsukan tuntutan hilang upaya Perkeso.
“Modus operandi juga sama iaitu membuat tuntutan palsu melibatkan kecederaan pada bahagian tulang belakang dan ligamen anterior cruciate (ACL). Mereka aktif sejak 2017 hingga tahun ini,” katanya.
Pihak berkuasa itu tidak menolak kemungkinan akan ada lagi tangkapan membabitkan kartel tuntutan Perkeso dan dokumen palsu. – KOSMO! ONLINE