PETALING JAYA – Sejak kebelakangan ini, pelbagai barangan pelik dijual di media sosial termasuklah perkara berkaitan mistik seperti ‘chenuai’, minyak pengasih, ubat kuat dan sebagainya.
Terbaharu, menerusi satu perkongsian di laman sosial, seorang individu telah menawarkan seekor mahkluk dipercayai ‘toyol’ untuk dijual pada harga RM50 sahaja.
Berdasarkan gambar yang dikongsi di media sosial itu, mahkluk berkenaan berada di dalam sebuah botol yang ditutup dengan kain.
“Toyol berumur enam bulan ingin dilepaskan. Dia suka curi duit RM50, tapi kalau ‘mood’ dia tak berapa baik, duit syiling pun dia bedal.
“Owner (pemilik) urgent (terdesak) nak pakai duit, nak beli mesin basuh,” tulis pemilik mahkluk itu pada hantaran tersebut.
Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan sama ada individu tersebut ingin menjual betul mahkluk tersebut ataupun hanya sekadar gurauan di media sosial.
Pada masa sama, tidak dapat disahihkan sama ada makhluk itu benar-benar toyol atau hanya patung.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata pengguna meninggalkan pelbagai komen yang berminat untuk membeli mahkluk berkenaan.
“Berapa harga toyol ni bos saya bukan niat untuk curi ada benda saya boleh buat dengan benda ni,”tulis Muhamad Ridzuwan.
Turut meninggalkan komen adalah seorang lagi pengguna dikenali sebagai Taufik Seventress.
“Janganlah buat kerja terlarang kesian keluarga makan duit curi, cuba kerja titik peluh diri sendiri,”ujarnya.- KOSMO! ONLINE