fbpx

Sindiket ‘Counter setting’ KLIA: Dua lagi penguat kuasa diberkas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Dua lagi anggota penguat kuasa yang bertugas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang ditahan berhubung kes rasuah melibatkan sindiket membawa masuk warga asing tanpa melalui pemeriksaan sepatutnya.

Menurut sumber, dua lelaki berusia dalam lingkungan 30 hingga 40-an ditahan pada pukul 6.30 pagi ketika hadir memberi keterangan di Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kuala Lumpur, di sini Selasa lalu.

Susulan penahanan itu, suspek dibawa ke Mahkamah Majistret di sini dan dibenarkan direman selama empat hari sehingga esok oleh Majistret Noorelynna Hanim Abd Halim.

“Dua suspek itu disyaki melakukan perbuatan tersebut sejak 2016 dan menerima bayaran secara tunai antara RM300 dan RM2,500 sebagai balasan untuk melepaskan warga asing masuk menggunakan modus operandi ‘counter setting’.

“Ini susulan lima suspek termasuk tiga penguat kuasa direman pada 30 Ogos lalu, namun dilepaskan dengan jaminan SPRM selepas tempoh reman mereka tamat,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

Usaha sedang giat dilakukan untuk mengesan Roney Irwan Mohamad Nor, 49, yang beralamat di C-T02-U03, Fasa P18R13, Presint 18, Putrajaya.

Semalam, tujuh lagi individu termasuk tiga anggota penguat kuasa Imigresen dan seorang anggota polis ditahan di ibu negara disyaki terbabit sindiket membawa masuk warga asing menggunakan modus operandi ‘counter setting’.

SPRM mengesan kegiatan sindiket membawa masuk warga asing termasuk dari Myanmar, Bangladesh, Indonesia, India, Pakistan, dan Nepal melalui pintu masuk negara tanpa pemeriksaan pihak berkuasa.

Kegiatan sindiket terbabit terbongkar selepas SPRM menahan 12 individu membabitkan sembilan lelaki dan tiga wanita berusia lingkungan 20 hingga 50-an di sekitar Lembah Klang, Pulau Pinang dan Kelantan. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI