fbpx

Projek HSR meningkat RM120 bilion menimbulkan keraguan – Ka Siong

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PETALING JAYA – Kos projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) meningkat kepada RM120 bilion berbanding pelan asal RM70 bilion menimbulkan keraguan terhadap kebolehlaksanaan projek itu jika kerajaan mahu ia dibiayai sepenuhnya oleh sektor swasta.

Presiden MCA yang juga bekas Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, Eurostar London-Paris HSR memerlukan 20 tahun sebelum mula menjana keuntungan, maka terdapat keraguan mana-mana perusahaan swasta mampu menanggung kos tersebut sebelum dapat menikmati hasil keuntungan.

“Projek ini tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada pihak swasta tanpa bantuan kerajaan. Projek HSR tidak boleh dilihat secara berasingan, sebaliknya mesti seiring dengan projek Nilai Pembangunan Kasar (GDV) Bandar Malaysia bernilai RM140 bilion yang juga stesen penting HSR.

“Idea asal untuk meraih keuntungan projek Bandar Malaysia yang sangat berdaya maju bagi membiayai silang projek HSR. Malah, jika dilakukan dengan betul maka keuntungan projek Bandar Malaysia dengan mudah dapat membayar keseluruhan atau kos yang besar bagi projek ini,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.

Ka Siong berkata, beliau sehubungan itu menyarankan supaya kerajaan mengambil semula pemilikan atau hak untuk membangunkan projek HSR bersama-sama projek Bandar Malaysia.

Kata beliau, kerajaan juga diminta mempertimbangkan untuk meembenarkan satu konsortium membangunkan kedua-dua projek HSR dan Bandar Malaysia sebagai satu pakej dan bukan secara berasingan.

Tambah beliau, kerajaan perlu juga mempertimbangkan untuk melibatkan kerajaan Singapura dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) mereka sebagai rakan kongsi projek seperti rancangan asal.

“Ini juga akan memastikan potensi yang lebih besar bagi projek Bandar Malaysia dengan menggalakkan lebih banyak syarikat Singapura memindah sebahagian operasi mereka ke tapak tersebut,” katanya.

Terdahulu, Ka Siong berkata, berdasarkan pelan asal, HSR memulakan operasinya menjelang tahun 2026 dengan kos pembinaan RM70 bilion iaitu hanya berbaki dua tahun dari sekarang.

Bagaimanapun, sejak pertukaran kerajaan selepas pilihan raya umum pada tahun 2018, projek infrarakyat tersebut mengalami banyak kelewatan, penangguhan, penggantungan dan pembatalan.

“Namun, sehingga hari ini, masih belum pasti sama ada projek itu masih boleh diteruskan atau sebaliknya.

“Selepas banyak kajian dilakukan, tiada siapa boleh menafikan manfaat limpahan ekonomi dan sosial daripada projek HSR ini. Semakin lama kita menunggu projek itu dimulakan, semakin lama negara kehilangan manfaat ekonomi dan sosial ini,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI