fbpx

Pompili Rossi sah CEO baharu MFL

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KETUA Pegawai Eksekutif MFL yang baharu, Giorgio Pompili Rossi. - Foto ihsan MFL

PETALING JAYA – Pengalaman luas yang dimiliki Giorgio Pompili Rossi menjadi asas utama kepada pelantikannya sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bolasepak Malaysia (MFL) yang baharu bagi menggantikan Datuk Stuart Ramalingam.

Keputusan pelantikan tersebut telah dibuat menerusi persetujuan Ahli Lembaga Pengarah MFL menerusi satu mesyuarat, semalam sekali gus menyaksikan Pompili Rossi adalah individu dari luar negara yang pertama dilantik sebagai CEO MFL.

Menurut Presiden MFL, Datuk Ab Ghani Hassan, keputusan melantik Pompili Rossi dibuat berdasarkan pengalaman yang ada pada beliau dalam industri bola sepak sejak 2013 sehingga kini.

“Kami di MFL mengalu-alukan kedatangan Pompili Rossi dan menaruh kepercayaan dengan kebolehan serta kepakaran beliau untuk menjalankan tugas selaku CEO yang baharu di sini. Beliau akan memulakan tugas apabila selesai urusan proses mendapatkan visa dalam masa terdekat ini.

“Pengalaman dan pengetahuan Pompili Rossi tentang bola sepak Malaysia dan rantau ini diharapkan dapat membantu dalam menguruskan operasi MFL khususnya daripada aspek pertandingan dan komersial Liga Malaysia,” katanya.

Pompili Rossi memulakan kerjayanya pada tahun 2013 dengan menyertai agensi komersial kelab Serie A dan meneruskan tugas di Sepanyol bersama Valencia CF sebelum beliau menyertai LaLiga pada tahun 2017.

Pompili Rossi mula bertapak di Malaysia sebagai delegasi LaLiga pada tahun 2017 sehingga 2021, di mana beliau memainkan peranan penting dalam membangunkan jenama liga Sepanyol dan mempromosikan kelab-kelab Sepanyol di kalangan peminat bola sepak di negara ini.

Selepas itu, Pompili Rossi melebarkan sayapnya sebagai delegasi LaLiga Thailand yang berpangkalan di Bangkok sejak 2021 serta turut menjalankan operasi di Laos, Kemboja dan Myanmar sehingga kini sebelum dilantik selaku CEO MFL. – KOSMO! ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI