fbpx

Perhalusi idea swastakan Harimau Malaya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SKUAD Harimau Malaya dilihat berada pada momentum yang tepat meskipun turut berdepan pelbagai kritikan sejak kebelakangan ini.

CADANGAN untuk ‘membebaskan’ Harimau Malaya dan diuruskan oleh badan bebas harus diteliti sehabis baik bagi mengelak masa depan skuad kebangsaan tergadai hingga kembali merudum seperti sebelum ini.

Walaupun seakan terlalu asing bagi pasukan kebangsaan, ia masih boleh dilaksanakan, namun Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) masih perlu menjadi pemegang taruh utama selepas dipertanggungjawabkan oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).

Tenaga Pengajar Elit AFC, Prof. Madya Dr. Zulakbal Abd Karim berkata, cadangan itu adalah sesuatu yang bagus tetapi FAM selaku badan induk bola sepak negara tidak boleh terus disisihkan.

“Kita tak tahu perincian cadangan Tunku Mahkota Ismail, namun kalau kita tengok ia seperti langkah penswastaan syarikat di Malaysia dulu yang mana bagi menjamin kualiti apabila dijaga syarikat swasta.

“Perdana Menteri pun umum peruntukan RM15 juta kepada Harimau Malaya, bukan kepada FAM. Jadi bagus kalau ada syarikat yang menguruskan pasukan itu termasuk mencari dana, buat promosi dan sebagainya.

“Perdana Menteri juga nak pantau pengurusan Harimau Malaya seperti entiti yang dijaga oleh kerajaan menerusi pemilikan saham dan ia bukan lagi ditadbir oleh orang politik atau sukarela. Jadi, ia akan diuruskan oleh orang profesional yang mana kalau gagal, dia kena keluar,” katanya.

Sebelum ini, Tunku Mahkota Ismail menerusi laman sosial miliknya berkongsi sistem, peranan dan carta organisasi badan bebas yang dikaitkan sebagai pelan untuk menswastakan Harimau Malaya.

Bagaimanapun, ia kekal menjadi teka-teki dan satu ciapan ‘15 Disember’ dimuat naik Tunku Mahkota Ismail menerusi IGStory miliknya turut menimbulkan pelbagai persoalan.

Bekas pengendali negara, Wan Jamak Wan Hassan berpendapat, idea berkenaan harus diperhalusi kerana prestasi pasukan kebangsaan menjadi perkara utama perlu didahulukan.

“Kita sebagai jurulatih sebenarnya tidak pernah terfikir pasukan kebangsaan akan diswastakan sebab ia dikendalikan oleh FAM. Mungkin idea itu boleh diberikan kepada FAM dan sama ada swasta atau tidak, kita sebagai rakyat Malaysia mahukan yang terbaik untuk bola sepak negara,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI