MELAKA – Seorang pemotong rumput warga Bangladesh maut akibat terkena renjatan elektrik ketika melakukan kerja-kerja memotong rumput di Taman Perkota, Bukit Baru di sini, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 10.30 pagi itu, mangsa, Habib Ullah, 39, meninggal dunia di lokasi.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, mangsa terkena renjatan elektrik ketika cuba mengalihkan kabel dari tanah yang mengganggu kerja-kerja pemotongan rumput.
“Menurut saksi yang juga rakan sekerjanya, mangsa dikatakan terkena renjatan elektrik hampir satu minit.
“Rakan-rakan telah cuba membantu menjauhkannya daripada kabel tersebut menggunakan kayu, namun dia telah disahkan maut oleh pegawai perubatan,” katanya kepada pemberita, hari ini.
Tambahnya, pemeriksaan dan pemerhatian terhadap fizikal mangsa dan sekitar tempat kejadian tidak menemukan sebarang unsur perbuatan jenayah.
“Mayat mangsa telah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Melaka untuk bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE