KUALA LUMPUR – Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi telah diberi tanggungjawab untuk mengumumkan nama calon mewakili Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota, Johor.
Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau menyerahkan tanggungjawab kepada Menteri Besar itu di atas persetujuan pucuk pimpinan parti.
“Saya berikan kuasa kepada Menteri Besar Johor untuk buat pengumuman calon PRK DUN Mahkota,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Persidangan Perundangan Antarabangsa Mengenai Ancaman Dalam Talian 2024 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, hari ini.
Terdahulu, Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir memaklumkan, calon BN untuk PRK DUN Mahkota akan diumumkan oleh Ahmad Zahid pada minggu ini.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini menetapkan hari pengundian PRK DUN Mahkota pada 28 September, dengan penamaan calon pada 14 September dan pengundian awal pada 24 September. – KOSMO! ONLINE.