LIVERPOOL – Kem Liverpool dikatakan berkeyakinan tinggi bahawa bintangnya, Mohamed Salah akan menandatangani perjanjian baharu dengan menerima bayaran sedia ada sebelum kontraknya tamat pada Jun tahun depan.
Menurut laporan Football Insider, pihak pengurusan The Reds akan memulakan rundingan dengan penyerang prolifik berusia 32 tahun itu dalam masa terdekat disebabkan kenyataan mengejutnya sebelum ini.
Salah secara terbuka mengatakan ini adalah musim terakhirnya bersama Liverpool dalam temu bual selepas tamat aksi menentang Manchester United di Old Trafford yang menyaksikan pasukannya menang 3-0 pada Ahad lalu.
Tumpuan Liverpool sebelum ini lebih kepada memastikan pengurus baharu yang menggantikan Jurgen Klopp iaitu Arne Slot dapat bekerjasama dengan kakitangan lain seperti Richard Hughes
Difahamkan bahawa tumpuan sebelum ini adalah untuk memastikan pengurus baharu, Arne Slot dapat bekerjasama dengan Pengarah Sukan Liverpool, Richard Hughes dan Ketua Eksekutif Liverpool, Michael Edwards.
Memandangkan jendela perpindahan Liga Perdana Inggeris (EPL) ditutup pada Jumaat lalu, Liverpool kini boleh mengalihkan fokus sepenuhnya dengan melakukan rundingan bersama Salah serta beberapa pemain lain yang akan berbaki kontrak setahun.
Difahamkan, Liverpool sedia ‘memujuk’ Salah untuk menurunkan tandatangan terhadap perjanjian baharu biarpun bintang Mesir itu kekal menerima bayaran gaji sama iaitu £350,000 (RM1.99 juta) seminggu menjadikannya £18.2 juta (RM103.83 juta) setahun.
Bagaimanapun, segalanya terpulang kepada Salah yang akan berusia 33 tahun pada tahun depan sama ada kekal beraksi pada tahap tertinggi seperti EPL ataupun berhijrah ke Arab Saudi mencari gaji yang lebih tinggi.
Sebagai rekod, Salah masih kekal menjadi sasaran utama kelab-kelab terkemuka Arab Saudi yang pernah menerima tawaran lumayan bernilai £150 juta (RM855.80 juta), namun ditolaknya pada musim lalu. – AGENSI