fbpx

Lesen digantung jika bawa pelancong masuk Filipina secara haram

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PUTRAJAYA – Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) memulakan siasatan terhadap ejen pelancongan yang disyaki menguruskan atau membawa penumpang memasuki perairan Filipina secara haram pada 1 September lalu.

MOTAC dalam satu kenyataan memberitahu, pihaknya mengambil serius berkenaan penahanan warganegara China dan Malaysia kerana memasuki Perairan Tugayo Hunasan, Sitangkai, Tawi-Tawi, Filipina secara haram itu.

Menurut laporan awal jelasnya, tangkapan oleh pihak berkuasa Kerajaan Filipina terdiri daripada lapan warga China dan tiga warga Malaysia yang ditahan kerana memasuki perairan Filipina secara tidak sah.

“Laporan awal menyatakan pelancong tersebut telah ke lautan Malaysia bagi tujuan memancing dan telah memasuki lautan Filipina akibat cuaca buruk.

“Sekiranya siasatan MOTAC yang dijalankan mendapati sebarang kesalahan dilakukan di bawah Akta Industri Pelancongan 1992, MOTAC akan mengambil tindakan sewajarnya termasuk mengantung, membatal lesen, mengkompaun atau mendakwa ejen pelancongan yang terbabit,” katanya hari ini.

MOTAC memaklumkan, peringatan turut diberikan kepada semua ejen pelancongan di seluruh negara agar memastikan semua pakej pelancongan dan pengaturan perjalanan mematuhi peruntukan Akta Industri Pelancongan 1992.

Ini termasuk mematuhi semua peraturan di bawahnya dan undang-undang bertulis lain.

“Pematuhan kepada undang-undang adalah penting untuk mengekalkan integriti industri pelancongan serta memastikan keselamatan serta keabsahan aktiviti pelancongan di bawah kendalian setiap ejen pelancongan,” ujarnya.

Pada Ahad, pihak berkuasa Filipina menahan beberapa individu terdiri daripada rakyat Malaysia dan warga China selepas disyaki memasuki perairan negara itu secara haram. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI