fbpx

Lelaki ‘Oyen Ucuk’ tidak mengaku sokong, miliki gambar berkaitan Daesh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Seorang pekebun mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi di sini hari ini atas tiga pertuduhan menyokong dan memiliki gambar berkaitan kumpulan pengganas Daesh, sejak Disember tahun lalu.

Tertuduh Muhammad Sani Mahdi Sahar, 31, membuat pengakuan itu selepas semua pertuduhan dibaca terhadapnya di hadapan Hakim Datuk Noorin Badaruddin.

Mengikut pertuduhan pertama, Muhammad Sanibdidakwa memberi sokongan kepada kumpulan pengganas Daesh menggunakan aplikasi media sosial Facebook atas nama dalam bahasa Arab, Abu Ibrahim, yang kemudian ditukar kepada ‘Oyen Ucuk’.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Bahagian E8 Anti Pengganas (E8) Cawangan Khas, Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bukit Aman di sini pukul 9 pagi pada 19 Disember 2023.

Justeru bagi pertuduhan pertama itu, pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 130J(1)(a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 40 tahun atau denda dan hendaklah dirampas mana-mana harta yang telah digunakan atau diniat untuk digunakan dalam melakukan kesalahan itu, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, lelaki itu didakwa telah memiliki tiga gambar yang dikaburkan dengan keterangan gambar, menyatakan individu tersebut berbai’ah kepada Abu Hafsah Al-Hasimi Al-Quroshi yang merupakan pemimpin Daesh kelima.

Sementara pertuduhan ketiga, dia didakwa memiliki gambar memperingati insiden militan yang berkait dengan Daesh telah menawan suatu kawasan di Mozambique pada tahun 2020.

Kedua-dua kesalahan itu dilakukan dalam akaun media sosial sama, yang dikesan di lokasi serupa pukul 8 malam pada 26 Mac dan pukul 9.16 malam pada 30 April lalu.

Bagi kedua-dua pertuduhan, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 130JB(1)(a) Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah peruntukan sama yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda dan hendaklah dirampas mana-mana harta yang telah digunakan atau diniat untuk digunakan dalam melakukan kesalahan tersebut.

Semasa prosiding, tertuduh diwakili peguam, Asiah Abd Jalil manakala pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Hajar Mat Radzi.

Mahkamah kemudian menetapkan sebutan semula kes pada 19 November ini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI