KUANTAN – Seorang lelaki mendakwa dipukul dan diserang menggunakan pisau serta senjata api oleh sekumpulan lelaki termasuk anak seorang VVIP di sebuah kandang kuda di sini, Jun lalu.
Lelaki yang berumur 44 tahun itu ketika dihubungi berkata, akibat serangan tersebut, dia mengalami kecederaan di bahagian paha dan kaki kanannya.
Mangsa memberitahu, susulan kejadian itu juga dia telah hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan pada 8 Jun lalu bagi membuat laporan setelah mendapat rawatan bagi kecederaannya di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan, di sini.
Bercerita lanjut tentang kejadian yang berlaku di antara pukul 12.20 tengah malam hingga 3 pagi pada 6 Jun lalu itu, dia berkata, pada awalnya dihubungi seorang lelaki yang memintanya hadir ke kandang kuda berkenaan bagi membincangkan tentang pengambilan pengawal peribadi.
Dakwanya, dia diminta untuk berjumpa di kandang itu pada pukul 12.30 tengah malam dan ketika itu sudah berasa pelik kerana seperti tidak ada waktu siang untuk melakukan perbincangan.
“Ketika sampai ke kandang kuda itu, saya telah ditarik ke dalam sebuah kabin dan diserang oleh lebih kurang 20 orang lelaki yang kesemuanya saya kenal, cuma ada yang saya tidak ingat nama.
“Saya cuba melarikan diri tetapi telah dikepung sekumpulan lelaki itu. Berlaku pergaduhan ketika itu sebelum anak VVIP itu bertindak melepaskan tembakan ke arah saya.
“Saya berjaya mengelak tembakan itu, namun telah ditikam oleh seseorang lelaki di bahagian paha kanan,” katanya yang kini berada di satu lokasi yang dirahsiakan demi keselamatannya.
Mangsa berkata, selepas laporan polis dibuat, sehingga kini dia yang juga bekas anggota polis masih belum menerima sebarang perkembangan berkaitan kes terbabit.
Sementara itu, Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman pula memberitahu, pihaknya kini sedang dalam usaha melengkapkan kertas siasatan berhubung kes terbabit.
“Kertas siasatan telah dihantar kepada pihak pendakwaan tetapi dihantar semula untuk dilengkapkan beberapa perkara.
“Kita sedang melengkapkan kertas siasatan dan akan menghantar semula kepada pihak pendakwaan,”ujarnya. – KOSMO! ONLINE