fbpx

Lakonan mantap, sayangnya naratif seram jadi klise

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
The Deliverance yang kini ditayangkan menerusi Netflix bukanlah sebuah naskhah hebat tetapi masih layak ditonton dek penampilan hebat pelakon-pelakon terlibat.

SEJUJURNYA, tiada harapan menggunung dipertaruhkan saat bersedia duduk menyaksikan naskhah seram terbaharu garapan sutradara, Lee Daniels berjudul The Deliverance.

Apa yang diharapkan secara peribadi hanyalah persembahan terbaik pelakon yang terlibat dalam filem berkenaan termasuk Andra Day, Glenn Close, Aunjanue Ellis-Taylor dan Mo’Nique. Melihat nama-nama sahaja, ensemble yang terpapar nampak kuat dan meyakinkan.

Diangkat daripada sebuah kisah benar dari Barat, The Deliverance hanyalah sebuah kisah seram klise dan mudah terjangka. Jujurnya itu pandangan peribadi penulis selepas menghabiskan sekitar sejam 50 minit menonton filem berkenaan.

Sebenarnya, kita sudah menonton naskhah dengan naratif sebegini yang didokumentasikan dalam bentuk filem berulang-ulang kali.

Sebuah keluarga berpindah ke rumah baharu, ditambah dengan masalah hidup dan kemudian berlakulah perkara-perkara mistik dalam rumah tersebut.

Hilang arah, watak utama mula didekati orang alim agama dan perlu melakukan kerja ‘pembersihan’ di rumah tersebut. Kedengaran klise? Itulah sedikit gambaran filem The Deliverance.

Berada di tangan pengarah hebat, Lee Daniels namun itu sahaja tidak menjanjikan bahawa filem berkenaan diterjemahkan dengan cemerlang.

Sebilangan kita kenal Lee menerusi filem Precious yang melayakkan dirinya menerima pencalonan Pengarah Terbaik Academy Awards sekitar 2009, namun barangkali untuk naskhah bercorak seram atau horror, Lee mungkin perlu dijauhkan daripada kerusi pengarah.

Kendatipun, apa yang penulis ingin ketengahkan dalam ulasan kali ini adalah komitmen lakonan pelakon-pelakon terlibat seperti didedahkan pada perenggan terdahulu.

Andra sebagai sebagai Ebony Jackson, seorang ibu yang mempunyai masalah ketagihan alkohol menjalankan perasan dengan cukup berkesan.

Sinergi antara watak dibangunkannya itu dengan tiga watak kanak-kanak iaitu Andre, Nate dan Shante juga tidak langsung mengecewakan.

Antara babak mengerikan dalam The Deliverance yang diangkat daripada kisah benar yang berlaku di Amerika Syarikat.

Lakonan

Berada pada kualiti sama adalah persembahan lakonan watak pembantu Cynthia Henry, seorang pegawai kebajikan masyarakat yang dijayakan Mo’Nique.

Satu perkara yang sedikit mengecewakan adalah terjemahan lakonan aktres legenda, Glenn Close sebagai Alberta Jackson.

Ada satu babak seram yang sepatutnya ‘duduk’ pada unsur tersebut namun disebabkan lontaran dialog Glenn membuatkan penulis tertawa terbahak-bahak.

Sedikit ‘spoiler’, babak dimaksudkan adalah ketika syaitan merasuki jasad anak bongsu Ebony dan kemudian bertukar menjadi Alberta yang pada ketika itu sepatutnya sudah mati.

“I can smell your nappy pussy,” itu lontaran dialog Glenn ketika babak tersebut berlangsung dengan wajah yang sudah seperti mayat hidup.
Mungkin boleh jadi satu yang kelakar dan 20 tahun dari sekarang akan dialog yang diselongkar semula dan menjadi meme (visual menggeletek hati).

Dari segi tahap keseraman, penulis hanya bermurah hati untuk memberikan markah lima daripada 10 untuk The Deliverance.

Filem layak ditonton hanya disebabkan barisan pelakon, bukannya didorong naratif yang sedari awal mudah ditebak.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI