fbpx

Kontraktor makanan MRSM cincai wajib disenaraihitamkan! – Pengerusi Mara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Asyraf Wajdi.

PETALING JAYA – Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki menegaskan, mana-mana kontraktor makanan yang tidak bertanggungjawab mengendalikan dewan selera Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) perlu disenaraihitamkan.

Katanya, situasi itu banyak dilihat apabila kontrak pengendali hampir tamat sehingga ada yang dengan sengaja melakukan kerja sambil lewa dan cincai.

“Saya tak boleh terima sikap segelintir kontraktor makanan dewan selera MRSM yang buat sambil lewa dan cincai bila tahu kontrak bakal tamat. Syarikat seperti ini wajib disenaraihitamkan oleh Mara!.

“Ini soal keselamatan, kesihatan dan kesejahteraan anak-anak pelajar. Tidak boleh dikompromi sama sekali,” tegasnya dalam hantaran di Facebook, hari ini.

Dalam hantaran sama, Asyraf Wajdi juga mempersoalkan adakah pihak kontraktor makanan ini tidak takut sekiranya rezeki yang diterima mereka itu hilang keberkatan disebabkan tidak jujur dalam memberikan perkhidmatan.

“Apakah tidak ada sekelumit rasa gerun dengan setiap sen yang diperolehi daripada sikap kecurangan yang bukan sahaja mengundang kemurkaan Allah, tetapi melibatkan hak ratusan manusia teraniaya.

“Akhirnya rezeki tiada barakah dan membawa kepada malapetaka,” soalnya.

Sementara itu, perkongsian beliau turut mendapat perhatian pengguna Facebook lain dan rata-ratanya menyokong tindakan tegas itu dilaksanakan segera tanpa kompromi.

“Saya setuju. Bab makan tak boleh bawa main. Kalau buat kerja cincai, boleh sebabkan keracunan kepada anak-anak MRSM. Boleh bawa maut juga,” kata Aieriena.

“Bukan sahaja Mara, jabatan kerajaan lain wajar senarai hitam kontraktor makan (vendor) begini,” saran Arie Dwi. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI