PETALING JAYA – Pempengaruh media sosial, Khairul Aming menitipkan pesanan kepada orang ramai untuk sentiasa membuat keputusan bijak dalam berbelanja dan tidak mengikut kehendak semata-mata.
Katanya, lebih penting jangan biasakan diri berhutang demi mencapai kemewahan supaya hidup akan menjadi tenang.
“Apa yang saya buat, saya naikkan pendapatan tapi kekalkan perbelanjaan sampailah ada satu jurang besar antara pendapatan dan perbelanjaan. Masa tu, baru saya tingkatkan gaya hidup dengan ambil sebahagian pendapatan.
“Nak beli apa-apa, beli terus. Boleh bayar secara tunai, boleh buat tu, boleh buat sendiri. Tak payah nak hutang sangat, kau boleh tidur dengan tenang,” pesannya dalam satu sesi siaran langsung, baru-baru ini.
Dalam pada itu, usahawan tersebut turut menjelaskan kenapa beliau tidak memilih untuk berada dalam kehidupan mewah sedangkan pendapatan bulannya jauh lebih cukup.
“Orang kata kenapa tak bermewah-mewah? Bila kau dalam keadaan yang mana duit tu cukup tapi kau harap kau ada lebih dan bila diberikan rezeki lebih, kau tak nak dah ada dalam keadaan tu.
“Contohnya kau rasa hidup kalau ada gaji RM10,000 sebulan, semua masalah hidup akan hilang. Bila dah capai RM10,000 sebulan, kau belanja RM9,500, tinggal RM500.
“Memang tak cukup, kau rasa terbeban dan rasa kalau ada RM100,000 sebulan, hidup akan tenang. Dah dapat Rm100,000 sebulan, kau ambil pula kereta mewah bayar RM95,000 ribu sebulan, tinggal RM5000, kau rasa tak cukup pula. Sampai ke sudah tak habis,” kongsinya. – KOSMO! ONLINE