PENGENDALI Filipina, Norman Fegidero seakan menyindir pengadil dari Indonesia, Yudi Nurcahya disebabkan beberapa keputusannya mengakibatkan kekalahan 1-2 kepada Malaysia pada aksi Pestabola Merdeka di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) semalam.
Keputusan itu menyekat hasrat Filipina menamatkan penantian 33 tahun untuk menewaskan Malaysia yang mana ketika itu Fegidero adalah penjaring gol tunggal The Azkals menang 1-0 ke atas Harimau Malaya pada Sukan SEA 1991.
“Pelan kami untuk dapatkan gol awal dan kami sememangnya ada peluang di awal perlawanan. Apa yang kami lihat (sepatutnya) penalti di babak pertama dan kedua tetapi saya tidak boleh kawal perkara itu.
“Di babak pertama kami patut jaringkan dua gol. Di babak kedua pula saya fikir kami patut dapat penalti dan mungkin kami menang 3-2. Keputusan pengadil sentiasa baik, jadi sekarang saya tidak boleh kata apa-apa,” katanya.
Sementara itu, Fegidero menyifatkan kekalahan pasukannya lebih kepada tidak bernasib baik, namun enggan terlalu meratapi kekecewaan tersebut.
“Pemain yang bermain dan pernah beraksi di Malaysia banyak memberi informasi tentang Malaysia. Jadi kami dapat selaraskan yang terbaik buat pasukan.
“Saya juga ingin kalahkan Malaysia sekali lagi (selaku jurulatih) tetapi kami tidak bernasib baik dalam perlawanan ini,” katanya.