JOHOR BAHRU – Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor mengesan beberapa objek yang tidak dikenal pasti ditemui dibuang di tepi sungai dalam bentuk bungkusan di anak Sungai Pandan, berhampiran Taman Daya, semalam.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Ling Tian Soon berkata, JAS Negeri Johor telah mengambil sampel dan menghantarnya ke Jabatan Kimia untuk dianalisis.
Katanya, bungkusan tersebut ditemui kira-kira pukul 10 pagi ketika menjalankan pemeriksaan di kawasan sekitar, terutamanya di sepanjang tebing sungai.
“Bau yang sama seperti yang terjadi di Kampung Melayu Pandan dua hari lepas masih dapat dihidu di kawasan tersebut. JAS telah pasang garisan keselamatan di lokasi dan sedang ukur kualiti udara di situ,” katanya kepada pemberita, hari ini.
Terdahulu, Tian Soon mengadakan lawatan ke kawasan penemuan bungkusan tersebut yang disyaki menjadi punca pencemaran bau kimia itu berlaku.
Kelmarin, Kosmo! melaporkan beberapa penduduk di sekitar Taman Daya, Taman Istimewa dan Taman Mount Austin yang mengadu pening kepala dan loya setelah terhidu bau kimia d kawasan rumah masing-masing.
Bau kimia yang dikesan begitu kuat dan pekat di kawasan Kampung Melayu Pandan menyebabkan sebuah tadika dan sekolah agama di kawasan berhampiran ditutup. – KOSMO! ONLINE