BINTULU – Angkara dilamun cinta maya dengan seorang doktor di Cuba, pembantu kedai di daerah ini sanggup menghabiskan wang sebanyak RM140,000 tanpa menyedari dia diperdaya sindiket ‘love scam’.
Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mancha Ata berkata, wanita berusia lewat 50-an itu berkenalan dengan suspek yang menggunakan nama Genghis Guo menerusi Facebook pada hujung Jun lalu dan mula berhubung menerusi Facebook Messenger.
Katanya, suspek yang bekerja sebagai doktor di Cuba berjanji akan berjumpa mangsa selepas pulang dari Melbourne, Australia.
Beliau berkata pada pertengahan bulan lalu, suspek memaklumkan mangsa bahawa dia berhenti kerja dan meminta bantuan wanita itu untuk membayar penalti kerana melanggar kontrak pekerjaan.
“Pada penghujung Ogos, suspek sekali lagi meminta mangsa membayar penalti pelanggaran kontrak pekerjaannya di Cuba dan berjanji akan membayar semula wang tersebut apabila tiba di Australia,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mancha memberitahu, mangsa menerima e-mel daripada penama Tyler Clark yang memperkenalkan diri sebagai perunding majikan suspek dan mengatakan lelaki itu terlibat kemalangan dan kini dalam keadaan kritikal.
Clark mengatakan suspek berhenti kerja kerana ingin berjumpa mangsa selain memberitahu suspek akan ditangkap polis sekiranya gagal membayar kos rawatannya.
“Mangsa yang terperdaya membuat pindahan wang secara dalam talian sejak pertengahan Ogos lalu dengan jumlah keseluruhan RM140,000,” katanya.
Mangsa menyedari ditipu apabila diminta untuk membuat bayaran lain, namun pada masa sama belum menerima sebarang bayaran daripada suspek. – KOSMO! ONLINE