KUALA LUMPUR- Selangor menyasarkan untuk membawa projek berkaitan sektor semikonduktor ke dalam Rancangan Selangor-2 (RS-2) ekoran sumbangannya yang besar dalam RS-1.
Menurut Exco Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti Ahli Majlis Mesyuarat Negeri Selangor, Ng Sze Han berkata, sektor semikonduktor akan menjadi sektor penting yang perlu dipantau dengan lebih rapi dalam RS-2 selepas tamatnya RS-1 pada tahun hadapan.
“Sejurus tamatnya RS-1, RS-2 akan dilaksanakan dengan beberapa projek penting yang belum siap akan dibawa ke dalam RS-2 termasuk pelancaran projek Selangor Eropah dan pembangunan industri semikonduktor.
“Selain itu, Selangor kini diperkukuh dengan adanya dua lapangan terbang utama, iaitu Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Lapangan Terbang Subang, serta Pelabuhan Klang sebagai pelabuhan terbesar.
“Tambahan pula, negeri ini dilengkapi dengan rangkaian pengangkutan awam yang pesat seperi Laluan Lingkaran Transit Aliran Massa 3 (MRT3), Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan Transit Aliran Ringan 3 (LRT3), serta rangkaian lebuh raya yang mempercepatkan pertumbuhan ekonomi,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam majlis Bicara Bersama Menteri Besar Selangor mengenai kajian separuh penggal pertama RS-1, di sini hari ini.
Sze Han berkata, hampir 30 peratus daripada eksport negara adalah daripada negeri Selangor.
Tambah beliau, RS-1 menggariskan beberapa teras utama untuk membawa Selangor ke tahap negeri pintar yang berdaya huni dan makmur.
“Antara objektif utamanya, termasuk pengukuhan ekonomi, pemacu kelestarian alam sekitar, penambahbaikan tadbir urus melalui pendekatan S.M.A.R.T. yang lebih efektif, serta mempertingkatkan inklusiviti sosial dan kesejahteraan rakyat.
“Selain itu, Pembangunan Serantau Bersepadu di Selangor (IDRISS) akan memfokuskan kepada kawasan seperti Pulau Carey untuk pembangunan sektor pembuatan, logistik, dan pelabuhan laut.
“Projek ini dijangka menyumbang RM40.2 bilion kepada KDNK menjelang tahun 2060, dengan RM4.71 bilion dijana menjelang tahun 2045.
“Sebagai tambahan, Selangor Aero Park (SAP) akan menjadi hab aeroangkasa global, dengan fokus kepada penyelenggaraan dan pembaikan pesawat, khususnya di Asia Tenggara,” katanya.
Beliau berkata, Selangor juga memberi tumpuan kepada industri baharu dengan pelaburan bernilai RM9.4 bilion yang bakal mewujudkan 26,500 peluang pekerjaan.
“Antara projek besar adalah Selangor IC Design Park yang akan memainkan peranan utama dalam sektor semikonduktor negara.
“Projek ini juga akan mengukuhkan keupayaan reka bentuk asal (ODM) dan memperkenalkan Taman Reka Bentuk IC di Puchong,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bank Islam, Datuk Mohd. Muazzam Mohamed, menegaskan komitmen Bank Islam dalam menyokong pertumbuhan ekonomi Selangor melalui kerangka pembangunan RS-1.
“Selangor terus menjadi penyumbang terbesar kepada KDNK negara dengan sumbangan melebihi 25 peratus sejak 2022.
“RS-1 akan membimbing pembangunan Selangor ke arah negeri berpendapatan tinggi dan berdaya saing.
“Dengan menerapkan elemen inklusif, kemampanan, dan inovasi, kami percaya RS-1 akan memastikan kemakmuran dapat dinikmati oleh semua lapisan masyarakat di Selangor,” katanya. -KOSMO!ONLINE